LOS ANGELES: Google melancarkan chatbot kecerdasan buatan (AI) sendiri, Bard sekali gus bakal mengulangi kejayaan penghasilan ChatGPT.

Memetik laporan Sky News, firma induk Google, Alphabet Inc mengumumkan perkhidmatan AI perbualan baharu akan dilancarkan untuk penggunaan 'pengguna yang dipercayai' sebelum digunakan secara umum dalam beberapa minggu akan datang.

Selepas pelancaran ChatGPT, chatbot diuji pada sejumlah besar data teks yang boleh dimanfaatkan membantu untuk menjana bacaan teks serta menjalankan perbualan realistik.

Firma penyelidikan OpenAI akhir tahun lalu memberitahu, chatbot ini dilaporkan bakal ‘mengancam’ apabila membantu persediaan orang ramai sebelum ditemu duga kerja, wartawan memproses berita dan kanak-kanak membuat kerja rumah.

Dalam pada itu, Chatbot dilaporkan digunakan oleh lebih daripada 100 juta pengguna di seluruh dunia dalam masa kurang dari dua bulan.

Ketua Eksekutif Alphabet Sundar Pichai turut mengumumkan lebih banyak kecerdasan buatan (AI) untuk enjin carian serta pembangunnya.

"Ia adalah masa yang sangat menarik untuk mengusahakan teknologi ini sambil kami menterjemah penyelidikan dan penemuan mendalam kepada produk yang benar-benar membantu orang ramai. Itulah perjalanan yang telah kami lalui dengan model bahasa yang besar.

"Bard boleh menjadi saluran untuk kreativiti, membantu menerangkan penemuan baharu daripada Teleskop Angkasa James Webb NASA kepada seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun atau mengetahui lebih lanjut tentang penyerang terbaik dalam bola sepak masa kini dan kemudian dapatkan latihan untuk membina kemahiran anda," tulisnya dalam hantaran di blog syarikat.

Menjelaskan bagaimana Bard dilancarkan, Pichai memaklumkan: "Kami mengeluarkan versi LaMDA iaitu model lebih kecil. Model yang lebih kecil ini memerlukan kuasa pengkomputeran yang jauh lebih sedikit, membolehkan untuk kegunaan skala lebih ramai pengguna serta membolehkan lebih banyak maklum balas,” katanya.

Sementara itu, syarikat pesaing Microsoft juga bersedia melancarkan produk teknologi terbaharu termasuk enjin carian Bing, selepas membuat pelaburan berbilion dolar dalam OpenAI.

Microsoft juga mengumumkan rancangan melaksanakan ChatGPT ke dalam perisian pasukannya untuk membantu pengguna meringkaskan mesyuarat tetapi ciri-cirinya dihadkan kepada pelan harga premium.