KOMPUTER moden pertama di dunia ialah ENIAC dengan ia seberat 27 tan dan memerlukan ruang lantai sebesar 1,800 kaki persegi.

Kerana saiznya, idea komputer peribadi (PC) adalah dianggap mustahil. Jalan ke arah terciptanya PC mula menjadi kenyataan dengan terciptanya minikomputer.

Penciptanya Gordon Bell dilapor meninggal dunia 17 Mei lalu akibat penyakit paru-paru berair pada usia 89 tahun.

Gordon Bell dilahirkan pada tahun 1934 di Missouri, Amerika Syarikat.

Sejak dari awal beliau terlibat dalam perniagaan peralatan elektrik milik bapa beliau sebelum menerima ijazah sarjana dalam kejuruteraan elektrik dari Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Ketika bertugas di Digital Equipment Corporation (DEC) beliau terlibat dalam menghasilkan minikomputer PDP-8 yang merupakan minikomputer pertama yang berjaya terjual dalam jumlah yang tinggi serta dijual pada harga mampu milik $18,000 sebuah.

PDP-8 dilabel sebagai minikomputer kerana bersaiz 10.5 x 19 x 24 inci sahaja.

Kemajuan teknologi minikomputer membuka jalan kepada terciptanya PC desktop lebih kecil dan kini komputer mudah alih di tangan anda sekarang.

Selain menjadi pencipta minikomputer, mendiang Bell juga adalah pengasas The Computer Museum yang kini dikenali sebagai Computer History Museum terletak di Mountain View, California. -Amanz