GAYA HIDUP
Himpunan 5,368 pengamal yoga, SSOY cipta rekod

Master S.K. Durai bersama Master Murali berlatarkan himpunan pengamal yoga pada sambutan Hari Yoga Antarabangsa. - Foto: Sakthi School of Yoga
SABTU lalu, 21 Jun 2025, bukan seperti hari hujung minggu biasa. Bagi pengamal yoga, ia adalah sambutan Hari Yoga Antarabangsa 2025 yang ke-11. Tetapi bagi pelajar dan guru dari Sakthi School of Yoga atau singkatannya SSOY, ia bakal merekodkan satu sejarah di Malaysia.
Sebagai seorang pengamal yoga, saya bakal menjadi salah seorang penyumbang kepada rekod bersejarah itu. SSOY tahun ini dinobatkan dengan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi himpunan yoga terbesar pernah diadakan di Malaysia, bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor dengan penyertaan 5,368 orang peserta.
Jangankan pagi itu, malah beberapa minggu sebelum itu, saya sudah teruja. Menjalani kelas yoga secara kecil-kecilan sekadar membantu ahli keluarga dan rakan terdekat, saya turut mengajak mereka meraikan bersama SSOY yang merupakan sekolah saya melengkapkan kursus guru yoga bertauliah pada tahun 2018.
Saya membawa bersama 15 orang pelajar dan kami berpakat berkongsi kereta supaya memudahkan perjalanan kami yang rata-rata tinggal di Shah Alam.
SSOY bertapak di Malaysia sejak tahun 2016, diasaskan oleh Master S.K Durai dan sejak itu, nama pusat yoga ini terus berkembang bukan sahaja di Malaysia dengan lebih 20 cawangan dan pusat gabungan malah turut membuka cawangan di Tamil Nadu, India, bumi kelahiran seni yoga itu sendiri.
Maka perjalanan hampir 10 tahun SSOY berjaya mengumpulkan 5,000 dan lebih pengamal yoga di Dewan A, MAEPS, Serdang yang dihias dengan lembaran kain berwarna kuning dan merah di selang-seli dengan kain rentang SSOY, tidak ketinggalan lampu-lampu yang turut memeriahkan landskap dalaman ruang dewan.
Pengamal yoga mula mengisi dewan sejak pukul 6 pagi lagi untuk acara yang bermula pada pukul 7 pagi. Saya pula sampai pada pukul 6.45 pagi di mana separuh daripada dewan sudah dipenuhi orang. Dalam masa setengah jam sahaja, dewan penuh, semua orang sudah mengambil tempat masing-masing duduk di atas tikar yoga masing-masing dan sesi pada pagi itu bermula.

Pengamal yoga yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, dari seluruh Malaysia, lelaki mahupun perempuan bersama-sama pada sambutan itu membuktikan bahawa rakyat Malaysia mengutamakan kesihatan dan betapa amalan ini mampu menyatukan manusia tanpa mengira batasan.
Program pada pagi itu dimulakan dengan persembahan kebudayaan tradisional India Selatan seperti urumee melam, mayilattam, karagattam, serta demonstrasi seni mempertahankan diri Tamil, Silambam.
Persembahan ini bukan sekadar hiburan pembukaan, tetapi menjadi simbol penghormatan kepada akar budaya amalan yoga yang berasal beribu tahun dahulu.
Sesi utama yoga dipimpin oleh Master S.K. Durai dengan sesi salutasi matahari dan latihan pernafasan dan meditasi khas dikenali, Sakthi Kriya.
Menariknya, sesi yoga tidak hanya melibatkan golongan dewasa tetapi Dewan B MAEPS mengumpulkan kanak-kanak dan sesi khas disediakan untuk mereka.
Sambutan terus disemarakkan dengan persembahan dari pelbagai Kumpulan iaitu warga emas, kanak-kanak dan wanita hamil serta pasangan mereka. Akhir sekali disudahi dengan persembahan epik Ramayana, yang menggabungkan elemen penceritaan klasik dengan gerakan postur yoga yang menjadi tarikan utama sambutan itu.

Acara penyampaian sijil oleh Malaysia Book of Records menyudahi sambutan pada pagi itu yang disorak riang oleh para peserta yang hadir.
Menurut SSOY, lebih daripada 130 guru dan pelajar yang berkhidmat sebagai sukarelawan demi menjayakan acara mega ini. Dari pengurusan pendaftaran, kawalan orang ramai, persiapan pentas, logistik, teknikal, serta memastikan peserta diberikan bimbingan dan ruang yang selamat untuk berlatih hinggalah memastikan makanan dan minuman yang mencukupi.
Memetik ucapan Master S.K. Durai, beliau berkata, sambutan ini bukan semata-mata mengenai mencipta rekod, tetapi sebagai satu platform untuk mencapai semua orang mendalami disiplin yoga dan menyebarkan kesedaran tentang transformasi dalaman melalui seni kesihatan ini. Kata-kata itu menyimpulkan sambutan Hari Yoga Antarabangsa yang berakhir pada pukul 11 pagi.
Untuk makluman, tema universal sambutan Hari Yoga Antarabangsa tahun ini ialah, ‘Yoga for One Earth, One Health’, menekankan peranan yoga dalam menyokong kesihatan menyeluruh individu dan bumi secara keseluruhan, selari dengan usaha global mempromosikan kesejahteraan fizikal, mental dan rohani.
* Artikel disumbangkan oleh Nizha Periaswamy, seorang bekas wartawan media arus perdana yang kini masih aktif menulis tentang gaya hidup, antaranya berkenaan kecintaannya terhadap seni senaman yoga.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami