Hotel bertaraf tiga bintang yang dibina di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bakal siap sepenuhnya menjelang hujung 2018.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata pembinaan hotel lapan tingkat yang mempunyai 150 bilik itu adalah mengikut jadual yang ditetapkan.

"Hotel yang giat dibina ini dikelolakan di bawah konsortium Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) Sdn Bhd...semua hotel (milik kerajaan negeri) di Terengganu juga berada di bawah konsortium tersebut.

"Terengganu Inc mempunyai pengalaman yang luas dalam menguruskan hotel di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Hotel itu, yang kosnya dianggarkan RM100 juta, dibina berikutan permintaan tinggi pengunjung ke Tasik Kenyir.

Beliau berkata infrastruktur juga akan ditambah dari semasa ke semasa untuk kemudahan pelancong dalam dan luar negara di kawasan Tasik Kenyir.

"Ramai pemaju ingin mendirikan resort di Tasik Kenyir atau luar dari kawasan ini contohnya di Bandar Kuala Berang memandangkan sambutan pelancong yang sangat menggalakkan," katanya.

Ahmad Razif turut melawat Pulau Tropika, Taman Orkid dan kawasan sekitar di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

-- BERNAMA