Ibu bapa memainkan peranan penting dengan sentiasa mengawasi gerak-geri anak mereka bagi mengelakkan generasi muda terjebak dalam gejala sosial.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka Datuk Latipah Omar berkata peranan ibu bapa penting kerana antara faktor utama berlakunya masalah sosial adalah disebabkan kegagalan ibu bapa dalam mendidik anak-anak, terutamanya didikan agama dan moral.

Katanya perkembangan pesat teknologi hari ini turut menyumbang kepada penyebaran pengaruh negatif terutamanya laman sosial dan rakan sebaya yang perlu dikawal ibu bapa.

"Sehubungan itu, semua ibu bapa perlu mengambil berat tentang perkembangan dan masalah yang dihadapi anak masing-masing terutamanya ketika berada di sekolah.

"Perbincangan dengan guru perlu lebih kerap diadakan bagi mengetahui perkembangan pelajaran dan disiplin anak mereka ketika menjalani sesi persekolahan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Latipah berkata demikian ketika diminta mengulas kes dilaporkan sebuah akhbar semalam mengenai dua pelajar berusia 14 dan 15 tahun yang didakwa merogol seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dalam kawasan sekolah di Jasin dekat sini Selasa lepas.

Beliau berkata pihak sekolah disarankan membuat pemerhatian dan melakukan kawalan ke semua bilik di bangunan sekolah dari semasa ke semasa sama ada oleh pengawal mahupun guru bertugas.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya pihak sekolah atau ibu bapa merujuk kes seperti ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, maka pelindung kanak-kanak akan menjalankan siasatan selain Pegawai Psikologi sedia membantu jika kanak-kanak berkenaan trauma atau memerlukan khidmat kaunseling.

"Kanak-kanak tidak memerlukan tindakan selanjutnya daripada pelindung (kanak-kanak) kerana mereka berada dalam keadaan yang selamat bersama keluarga dan perkara berkaitan persekolahan kanak-kanak terbabit adalah bergantung kepada ibu bapanya," katanya.

Beliau menyeru kepada orang ramai supaya menjadi masyarakat prihatin terhadap semua isu berkenaan gejala sosial yang dilaporkan sering berlaku masa kini.

"Misalnya dengan mengambil peduli tentang keadaan sekeliling selain menganggap anak jiran sebagai anak sendiri dalam usaha membendung masalah tersebut daripada terus berlaku," katanya. - Bernama