BATU PAHAT:Berpunca daripada melihat kesusahan ibunya untuk mendapatkan bekalan darah ketika menjalani rawatan telah membuatkan seorang sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) daerah Batu Pahat, di sini, aktif menderma darah sehingga kini.

Ahmad Aidil Nasir, 48, yang telah menderma darah sebanyak 51 kali setakat Februari ini berkata rentetan peristiwa 30 tahun lalu membabitkan ibunya Roslina Johari, 83, yang mengalami kemalangan jalan raya mendorong beliau untuk meneruskan 'amalan' mulia tersebut.

Katanya, semasa kejadian tersebut beliau masih lagi melanjutkan pengajian dan ibunya perlu melalui beberapa prosedur sebelum dibenarkan menerima bekalan darah kerana tiada ahli keluarganya yang pernah menderma darah sebelum itu.

"Berpunca daripada detik berkenaanlah saya mula menderma darah. Saya derma darah bukan sahaja untuk kemudahan diri serta keluarga sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, malah niat saya untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bekalan darah.

"Saya akan menderma darah antara tiga hingga empat kali setahun dan sebagai sukarelawan BSMM, selain menderma saya sekali gus akan berkempen untuk aktiviti menderma darah di daerah ini," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Tenaga pengajar

Menurutnya, selain menjadi sukarelawan BSMM, dia kini turut menjadi tenaga pengajar serta pegawai latihan bagi persatuan dan kelab di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), bagi pelajar yang mengikuti kursus Kokurikulum Berkredit BSMM.

Beliau yang mempunyai darah jenis B+ berkata beliau mahu berkongsi pengalamannya bersama anak-anak muda mengenai kelebihan menderma darah antaranya adalah baik untuk kesihatan.

"Saya juga telah menggalakkan anak sulung saya Muhammad Hafizi, 18, untuk menderma darah dan beliau kini telah menderma darah sebanyak dua kali," katanya yang turut mempunyai dua lagi anak yang masih bersekolah rendah.

Terdahulu, Program Kempen Derma Darah anjuran BSMM Daerah Batu Pahat dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat yang menyasarkan 100 beg darah untuk kegunaan HSNI.

BSMM Daerah Batu Pahat kini diketuai oleh Pengerusinya Jamil Ahmad kini giat menjalankan aktiviti dan kempen menderma darah di daerah ini yang turut disertai beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) serta Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batu Pahat.

-- BERNAMA