SEBUAH badan masyarakat di Australia mendakwa syarikat penjual perabot IKEA telah mengelak daripada membayar cukai di negara itu.

Lapor laman web Mashable, kumpulan yang dikenali sebagai ‘Fair Go For Canberra’ mendakwa keuntungan IKEA Australia bernilai AUS$1 bilion (RM3.11 bilion) pada tahun 2002 hingga 2013, namun ia membayar cukai kurang daripada AUS$31 juta (RM96.51 juta).

Kumpulan itu berkata kadar cukai korporat di Australia adalah 30 peratus dan IKEA Australia telah membayar cukai hanya pada kadar 3 peratus.

Sepatutnya IKEA Australia membayar cukai sebanyak AUS$269 juta (RM837.46 juta).

Susulan itu, kumpulan itu bertindak untuk meletak “tanda harga” di kedai IKEA cawangan Canberra yang baru sahaja buka sebagai memberi kesedaran kepada orang ramai tentang tindakan syarikat asal Sweden itu.


“Tanda harga” tersebut mendapat perhatian netizen tempatan.

Menerusi hashtag #IkeaCanberra, netizen turut berkongsi gambar “tanda harga” berkenaan.





Pada “tanda harga” yang sama, ia juga mahu orang ramai untuk menyokong satu petisyen agar ia dapat meraih perhatian Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull.

Selain itu, Fair Go For Canberra turut mendakwa beberapa syarikat gergasi antarabangsa seperti Apple dan Microsoft turut membayar cukai secara minimum.