Mereka yang berada di dalam pihak pengurusan Pusat Perkhidmatan Perkongsian (SSC) memerima gaji paling lumayan ketika ini berbanding mereka yang berada di industri lain.

Secara puratanya, mereka menerima sebanyak RM630,000 setahun.

Ini merupakan antara Penanda Aras Gaji 2018 yang menunjukkan tahap gaji di beberapa industri utama keluaran pakar pengambilan kerja dunia Michael Page Malaysia.

“Perkongsian perkhidmatan akan terus berkembang pada 2018 dengan lebih banyak jumlah fungsi syarikat bakal dipindahkan ke Malaysia,” kata Pengarah Michael Page Malaysia, Nic Chambers.

Berikut adalah pekerjaan yang menerima bayaran tertinggi di Malaysia mengikut Penanda Aras Gaji 2018 yang dikeluarkan Michael Page Malaysia.

1. Pengarah atau Pengurus Besar Pusat Perkhidmatan Perkongsian (SSC)

Menurut indeks ini, Malaysia adalah salah satu daripada tiga lokasi pilihan utama bagi kebanyakan perniagaan kerana keupayaan pelbagai bahasa, kos yang lebih rendah dan sokongan kerajaan yang kuat.

Tidah hairan SSC di negara ini kian berkembang selari dengan pelaburan yang meningkat di dalam industri ini.

Sehubungan itu, Pengarah dan Pengurus Besar SSC merupakan antara pekerjaan yang menerima gaji tertinggi di negara ini iaitu sebanyak RM630,000 setahun.

2. Pengarah Urusan / Pengurus Besar (Jualan)

Mereka di dalam bidang ini boleh menerima sebanyak RM510,000 hingga RM530,000 setahun bergantung kepada sektor, khususnya produk pengguna dan sektor IT atau telekomunikasi.

3. Ketua Global (Perolehan & Rantaian Pembekalan)

Tanggungjawab seorang ketua perolehan adalah mengetuai strategi dan sumber syarikat, di samping menemui pembekal yang menguntungkan dan berunding dengan vendor luar.

Mereka yang mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun menerima gaji kira-kira RM440,000 setahun.

4. Ketua Pegawai Kewangan (CFO) / Pengarah Kewangan (Kewangan dan Perakaunan)

Ketua Pegawai Kewangan (CFO) / Pengarah Kewangan boleh menerima sebanyak RM420,000 setahun, bergantung kepada sektor mereka.

Mereka yang menjawat jawatan ini mempunyai fokus khas dalam strategi, perancangan dan prestasi pengurusan.

5. Pengarah Pemasaran (Produk Pengguna dan Fast Moving Consumer Goods, atau FMCG)

Pengarah Pemasaran dalam sektor Produk Pengguna dan FMCG dijangka akan menerima gaji sebanyak RM390,000, iaitu 7.6 peratus lebih tinggi berbanding mereka di sektor Penjagaan Kesihatan (RM360,000 setahun) dan 49 peratus lebih tinggi berbanding mereka di sektor perkhidmatan (RM198,000 setahun).

Laporan Penanda Aras Gaji 2018 ini merangkumi pandangan pasaran dan trend pengambilan pekerja daripada pangkalan data dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

Ia mengandungi analisis mendalam dan ramalan dalam sektor utama seperti digital, teknologi, hartanah, pembinaan, perkhidmatan kewangan, perundangan, pemasaran, perolehan, rantaian bekalan dan penjualan.