SEBELUM era pandemik, frasa bekerja dari rumah atau Work From Home (WFH) kedengaran sangat manis dan mengujakan.

Masakan tidak, bekerja dan dibayar gaji, tetapi tidak perlu keluar rumah. Tidak perlu kelam-kabut bangun seawal jam 3 pagi untuk bersiap. Tiada tekanan akibat kesesakan jalan raya atau pengangkutan awam.

Namun, realitinya apabila sebilangan besar daripada kita kini terpaksa bekerja dari rumah, ia tidaklah seindah yang disangkakan.

Cabaran melaksanakan tugasan, ditambah pula dengan situasi di rumah yang mungkin tidak kondusif sebagai persekitaran kerja, menjadi satu bentuk tekanan yang cukup berbeza.

Warga kerja bilik berita di Astro AWANI tidak ketinggalan melalui fasa mencabar ini.

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu, warga kerja Asto AWANI dibahagikan kepada tiga kumpulan di tiga lokasi berbeza.

Ini adalah demi memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan, di samping menjadi rancangan kontigensi sekiranya timbul perkara yang tidak diingini.


Ini barulah Norma Baharu! Penyampai Berita, Personaliti Astro AWANI kongsi pengalaman WFH

Bagi penyampai yang bekerja di rumah, mereka masih melalui rutin yang sama, iaitu perlu bersiap untuk ke udara pada waktu yang ditetapkan.

Bezanya, wartawan dan penyampai berita bersiaran secara langsung atau live dari ruang tamu rumah atau bilik tidur. Di mana saja, asalkan lokasi itu mempunyai talian Internet yang stabil. Hebat bukan!

Banyak persiapan yang diperlukan. Peralatan seperti ring light perlu dibeli, bukan satu malah dua atau mungkin lebih.

Geegee melakukan persiapan sebelum bersiaran langsung. - Astro AWANI


INTERNET DI RUMAH KENA TIP-TOP!

Aspek teknikal perlu diambil kira kerana bukan senang mahu memastikan visual dan bunyi yang dipancarkan terus ke kaca televisyen anda mempunyai kualiti yang sama seperti di studio.

"Kami perlu bangun pagi seperti biasa. Dan pukul 6 pagi, sudah perlu bersedia untuk berrhubung dengan petugas bahagian teknikal bagi memastikan semua perkara berjalan dengan lancar semasa live," kata Geegee Ahmad, penyampai AWANI Pagi yang memulakan siaran seawal jam 7 pagi.

Temu bual secara maya kini menjadi satu norma baharu (kebiasaan). Skype, Google Meet dan banyak lagi aplikasi lain menjadi pilihan untuk mencari bahan berita.

Banyak software atau peranti yang diperlukan untuk melaksanakan tugasan harian, perlu dipasang ke komputer riba masing-masing. Proses ini tidak mudah kerana bukan semua komputer riba milik peribadi mempunyai keupayaan untuk dipasang dengan software terbabit.

"Bekerja dari rumah memerlukan saya memahirkan diri dengan aspek teknikal kerana jika di pejabat atau studio, semua kelengkapan dan software sudah ada.

"Saya memuat turun beberapa aplikasi demi memastikan kelancaran penghasilan sesuatu berita," kata Syafik Shukri Jalil, penyampai dan wartawan AWANI Sarawak dan AWANI 745

Astro AWANI mempunyai buletin pada setiap jam, tidak termasuk breaking news dan banyak lagi program hal ehwal semasa yang perlu disiarkan sama ada secara langsung atau rakaman pada hari yang sama.

“Cuba bayangkan jika saya bersiaran di rumah, saya perlu pastikan rakan penyampai lain dan tetamu program perlu berada di atas talian pada masa yang sama, dengan harapan talian komunikasi dan Internet pada tahap terbaik," kata penerbit, Fauzi Zin.

SAMPAIKAN BERITA SAMBIL MERIBA ANAK

Marlina bekerja dari rumah sambil melayan anak bongsunya. - Astro AWANI

Sementara itu, bagi penyampai berita Marlina Manaf, bekerja dari rumah adalah 'a real struggle' memandangkan dia perlu pada masa sama menguruskan tiga anak lelaki yang turut memerlukan perhatiannya.

"WFH bagi saya bukan sahaja ‘Work From Home’, tetapi juga 'Work For Home'," ujarnya.

Marlina menerangkan, pengalaman WFH pada mulanya sedikit sukar kerana operasi penyiaran banyak berkait dengan selok-belok teknikal.

Tetapi, selepas beberapa hari, halangan dan kekangan dapat diatasi dengan baik.

Bagaimanapun, katanya, cabaran besar sebenarnya adalah menguruskan masa ketika berada di rumah memandangkan banyak gangguan sampingan yang terpaksa ditangani dalam urusan kerja harian.

"Anak yang kecil berumur enam tahun, paling mencabar emosi, menuntut perhatian penuh ketika saya mengendalikan penerbitan berita, adakalanya berebut mahu sama menggunakan komputer riba.

"Ada situasinya, tugas terpaksa dilangsai ketika meriba anak, dan menyuap makanan.

"Don’t get me wrong, I love my boys, ini sekadar berkongsi pengalaman. Saya percaya di luar sana golongan ibu juga berdepan dugaan PKP yang sama.

"I love my job. Cabaran ini hanya sedikit. Apa jua kekangan harus ditangani untuk memastikan berita disampaikan kepada penonton kami, walau apa jua caranya," jelas Marlina.

KERJA BERPASUKAN SANGAT PENTING

Nur Syazwani percaya kerja berpasukan sangat penting apabila bekerja dari rumah. - Astro AWANI

Penyampai, Nur Syazwani Saiful Sham pula pernah melalui detik mencemaskan apabila talian Internet terputus lima minit sebelum bersiaran langsung.

"Mujur ada rakan penyampai yang bersedia dan boleh mengambil alih.

"Kerja berpasukan sangat penting apabila bekerja dari rumah kerana walaupun kita sudah bersedia, hal berkaitan teknikal ini sukar kita jangka," katanya.

Asyraf Roslan, yang bertanggungjawab mengendalikan laman media sosial Astro AWANI, berpendapat biarpun bekerja dari rumah lebih santai namun memerlukan kecekapan terutama apabila berhadapan situasi tidak dijangka.

"Saya perlu kawal device secara remote, jadi apabila berlaku masalah teknikal memang panik juga.

"Di sinilah perlunya kita ada rakan sepasukan yang saling membantu dan memberi sokongan," katanya.

Bagi wartawan dan penyampai, Saraya Mia, dia berhadapan dengan cabaran untuk kekal fokus apabila bekerja dari rumah.

"Banyak perkara yang mengganggu fokus apabila berada di rumah. Apa yang saya lakukan ialah saya cuba siapkan satu-satu tugasan terlebih dahulu sebelum keluar dari bilik kerja," katanya.

Asyraf perlu yakinkan pelanggan menerusi perbincangan dalam talian. - Astro AWANI

GAYA MESTILAH 'WIN', BARU PRODUKTIVITI MENINGKAT!

Seorang lagi warga kerja AWANI, Asyraf Muzammil, cabarannya sedikit berbeza.

"Cabaran yang saya perlu atasi ialah membuat strategi baharu dan kaedah baharu untuk meyakinkan client melalui virtual meeting berkenaan pakej pakej pengiklanan baharu yang lebih menarik di Astro sama ada TV, digital mahu pun radio di mana client lebih mudah membuat keputusan tanpa perlu perbincangan fizikal," kata Asyraf yang merupakan Eksekutif Astro Media Solutions. 

Namun, cabaran-cabaran ini bukan halangan untuk memberikan hasil kerja terbaik. Penulis yakin, ada dalam kalangan pembaca, tidak menyedari yang sebahagian daripada kami bersiaran dari rumah sebelum membaca artikel ini bukan?

Inilah norma baharu yang perlu dihadapi setiap daripada kita. Cabaran tidak boleh dielakkan, apatah lagi jika ia perkara baharu. Proses membiasakan diri akan mengambil masa, namun berkata mustahil pasti bukan jalannya.

Tentunya, peranan yang dimainkan setiap individu dalam sesebuah organisasi perlu bagi memastikan kelancaran operasi.

Kombinasi komunikasi dan komitmen pula akan memperlihatkan hasil yang memberangsangkan, malah kecemerlangan prestasi dapat diteruskan walau dalam suasana berbeza.

Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.


Nota: Video ini turut dimuatkan dalam akaun Tik Tok Astro AWANI!