KUANTAN: Pelaksanaan inisiatif kampung tanpa tunai di Mukim Hulu Tembeling, Jerantut dilihat dapat mempergiatkan industri pelancongan di kawasan berkenaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man.

Selain itu, beliau berkata, langkah itu juga dapat memperluaskan aktiviti ekonomi peniaga dan orang awam melalui platform yang tersedia sekali gus mengurangkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.

"Program ini sedikit sebanyak membantu industri pelancongan khususnya di Taman Negara dengan penyediaan mod pembayaran lebih mudah, cepat serta selamat melalui penggunaan DuitNow yang dilihat dapat meningkatkan lagi kemudahan terutamanya kepada pelancong yang datang ke Taman Negara.

"Saya difahamkan juga, pengusaha bot dan peniaga sekitar kawasan ini telah mula menggunakan pembayaran secara digital yang sudah tentu dapat memastikan pengurusan kewangan yang lebih selamat, mudah dan efisien serta memberikan satu pandangan Taman Negara ini telah menuju ke arah penggunaan transaksi tanpa tunai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Kampung Tanpa Tunai di Hulu Tembeling, Jerantut, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Leong berkata, program kerjasama antara Agrobank dan Tourism Pahang itu dilihat mempunyai sinergi yang sama dalam membantu memperluaskan penggunaan perkhidmatan tanpa tunai yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta pelancong yang datang ke Jerantut khususnya di Taman Negara.

"Kerajaan Pahang berharap dengan inisiatif digital atau tanpa tunai ini, sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan jualan peniaga malah kerajaan negeri juga komited untuk terus mara dalam usaha pembaharuan digital seiring dengan penglibatan setiap lapisan masyarakat dan pihak industri.

"Saya berharap penduduk Mukim Hulu Tembeling juga akan memanfaatkan sepenuhnya pelaksanaan inisiatif digital atau cashless ini dan mengambil peluang menggunakan perkhidmatan yang disediakan ini," kata Leong. - BERNAMA