KUALA LUMPUR: Suara barangkali satu anugerah Tuhan yang diambil mudah oleh kebanyakan kita, sedangkan tanpa suara pasti sukar untuk kita menjalani kehidupan seharian.

Malah, bagi sesetengah individu, suara adalah aset paling kritikal dalam kerjaya mereka, dan bayangkan jika suara mereka mengalami masalah yang diakibatkan, misalnya, sakit tekak.

Berkongsi pengalaman, penyanyi dan pensyarah vokal terkemuka negara, Datuk Syafinaz Selamat berkata, beliau pernah melalui pengalaman pahit hilang suara sehingga menjejaskan kariernya.

"Pengalaman yang tidak boleh dilupakan itu berlaku pada 2022. Saya mengalami jangkitan virus yang menjejaskan saraf pita suara, menyebabkan saya tidak boleh mengawal suara dan nyanyian.

"Oleh itu, saya ambil keputusan berehat sementara daripada sebarang tugas membabitkan nyanyian bagi menumpukan perhatian pada rawatan dengan pakar laringologi, memakan ubat-ubatan, selain menjalani latihan suara secara dalam talian dengan seorang guru vokal dari Jerman.

"Syukurlah, sekarang suara saya sudah semakin pulih atas usaha ini," kata bekas Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu yang turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan suara dan tubuh badan.

Ironinya, suara yang bermasalah atau rosak berisiko mengganggu kesihatan dan mengurangkan kualiti hidup seseorang.

Menurut Profesor Laringologi di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datin Dr Marina Mat Baki, kajian di luar negara menunjukkan mereka yang mempunyai masalah suara berasa hidup menjadi kurang bermakna berbanding penghidap penyakit kronik yang lain.

"Masalah suara juga boleh menjadi penyebab masalah mental dan tekanan kerana isu kesihatan itu boleh menyebabkan seseorang kehilangan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan, di samping terpaksa meninggalkan aktiviti sosial yang disukai," katanya.

Dr Marina yang juga Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz berkata, pekerjaan yang banyak menggunakan suara sehingga berlakunya 'Vocal Overdoer Syndrome' adalah pengguna suara profesional seperti penyanyi, pembaca berita, ahli politik, ahli perniagaan dan lain-lain.

Golongan ini, katanya, antara yang paling kerap menggunakan suara secara aktif, memerlukan lontaran suara yang tinggi dalam keadaan lama dan acap kali secara berlebihan, menyebabkan pita suara yang berfungsi menghasilkan bunyi bagi ucapan, bergeser dengan cara yang tidak sihat sehingga mengakibatkan kecederaan.

"Kecederaan yang berlaku berulang kali dan berpanjangan menyebabkan pita suara menjadi rengsa dan bengkak, kualiti suara akan terjejas dan menjadi serak. Seterusnya, masalah polip, nodul, sista dan parut pada pita suara terhasil sehingga mengganggu penghasilan suara, mengurangkan kualiti suara dan serak berpanjangan.

"Atas alasan pekerjaan, suara terus-menerus digunakan walaupun dalam keadaan tidak sihat, dan ini memburukkan lagi keadaan. Ada juga kes penyanyi terpaksa mengadaptasi lagu akibat suaranya yang sudah terjejas. Begitulah kesan mendalam suara yang sakit terhadap kerjaya profesional sebegini," jelasnya.

Menurut beliau, kira-kira 30 peratus pesakit yang dirujuk kepada pakar terapi pertuturan selepas menjalani pemeriksaan endoskopi peti suara adalah pengguna suara profesional.

Ini kata beliau berkemungkinan besar disebabkan kurangnya pengetahuan tentang penghasilan suara dan faktor yang boleh merosakkan organ penghasilan suara.

Gaya hidup tidak sihat

Gaya hidup seperti amalan pemakanan tidak sihat, merokok, pengambilan alkohol secara berlebihan, tidur yang tidak teratur serta kurang minum air turut memberi kesan kepada pita suara, kerana gaya hidup sedemikian boleh menyebabkan penghasilan jus asid berlebihan di dalam perut yang seterusnya mencetuskan refluks asid dan melimpah ke pita suara.

"Refluks ini menyebabkan tekak sentiasa rasa tidak selesa dan berlendir, membuatkan pesakit kerap berdeham dan batuk dengan kuat untuk melegakan tekak. Ini memburukkan lagi kesihatan suara. Tabiat merokok pula boleh memberi kesan buruk secara langsung kepada pita suara apabila asap rokok disedut selain risiko utama kanser peti suara.

"Seseorang yang mengalami masalah pita dan peti suara tidak sihat akan mengadu suara menjadi serak, sukar untuk melontarkan suara, berasa cepat penat ketika bercakap dan suara seperti tertekan atau meneran," katanya, menambah rawatan masalah suara bergantung pada diagnosis.

Tentang rawatan, Dr Marina berkata, masalah suara serak biasanya boleh dirawat dengan ubat-ubatan yang boleh mengurangkan penghasilan asid di dalam perut bagi merawat refluks laringofarinks dan ubat merawat alahan hidung untuk mengurangkan kahak.

"Amalkan 'vocal hygiene', iaitu amalan harian penjagaan suara seperti minum air putih yang mencukupi supaya tekak sentiasa basah, tidak merokok, tidak minum alkohol, ambil makanan yang sihat, tidur yang mencukupi dan jangan menjerit.

"Kawal rasa untuk berdeham dan elakkan batuk yang berlebihan kerana ini menyebabkan pita suara berlanggar dengan kasar dan memburukkan keadaannya," katanya, menambah pembedahan akan dilakukan jika terdapat polip, sista atau nodul yang keras pada pita suara, dan pesakit juga boleh dirujuk kepada pakar terapi pertuturan untuk menjalani terapi suara bagi kes yang tidak memerlukan pembedahan.

Tingkat kesedaran

Menyifatkan tahap kesedaran masyarakat negara ini berhubung penjagaan suara masih rendah, pakar kesihatan pekerjaan di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Dr Muhamad Ariff Muhamad Noordin berkata, keadaan itu disebabkan kurangnya aktiviti dan kempen kesihatan mengenai penjagaan suara.

Beliau berkata, hakikatnya, masalah suara yang disebabkan pekerjaan adalah satu bentuk halangan atau bahaya di tempat kerja, selain boleh mengganggu produktiviti syarikat.

"Majikan perlu tahu mereka wajib melindungi pekerja daripada sebarang bahaya yang boleh menggugat aspek keselamatan dan kesihatan pekerja. Ini jelas termaktub dalam Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 1994 (Akta 514).

"Walaupun dasar khas berkaitan KKP suara masih belum diwujudkan di negara, majikan bersama pekerja boleh mewujudkan satu dasar KKP berkaitan suara di tempat kerja agar kesedaran dapat ditingkatkan dan kebajikan pekerja dilindungi," katanya, menambah pihak berkepentingan boleh bekerjasama membawa isu ini ke peringkat atasan untuk tindakan sewajarnya.

Ditanya mengenai keperluan mengambil insurans suara, Dr Muhamad Ariff berpandangan, perkara itu boleh dibawa kepada pihak penyedia insurans masing-masing, namun kebiasaannya perlindungan sedemikian akan dikenakan caj premium yang agak tinggi.

Beliau memberi contoh penyanyi antarabangsa Mariah Carey yang menurut laporan media pada 2016, menginsuranskan suaranya dengan nilai sekitar AS$35 juta.

Dr Muhamad Ariff pada masa sama berkat,a NIOSH sentiasa berusaha mengangkat masalah kesihatan suara disebabkan pekerjaan agar diberi pertimbangan dan tindakan sewajarnya oleh pihak berwajib.

"NIOSH turut membantu dari segi pewujudan sebuah dasar khas bagi isu ini bersama banyak lagi pihak berkepentingan yang lain. Kita turut memberikan latihan dan kursus secara berkala mengenai kepentingan menjaga suara," katanya, menambah institusi itu akan menjalankan lebih banyak kajian untuk dikemukakan di peringkat kerajaan. - BERNAMA