Skip to main content

Dunia

Pemain Ireland enggan berjabat tangan dengan pemain Israel, pamer solidariti kepada Palestin

Pemain Republik Ireland menundukkan kepala ketika lagu kebangsaan Israel dimainkan sebelum perlawanan Liga Negara-Negara UEFA, pada Ahad. - Gambar AP
Pemain Republik Ireland menundukkan kepala ketika lagu kebangsaan Israel dimainkan sebelum perlawanan Liga Negara-Negara UEFA, pada Ahad. - Gambar AP

Advertisement

BACKA TOPOLA, SERBIA: Pemain Ireland sekali lagi menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin dengan memakai lilitan lengan hitam dan enggan berjabat tangan dengan pemain Israel sebelum perlawanan Liga Negara-Negara UEFA pada Ahad.

Sebelum sepak mula, pemain Ireland turut menundukkan kepala ketika lagu kebangsaan Israel dimainkan sebagai tanda penghormatan kepada rakyat Palestin yang terkorban di Gaza.

Perlawanan Kumpulan B3 itu berakhir dengan keputusan seri 1-1, namun suasana tegang yang menyelubungi pertemuan kedua-dua pasukan terus menjadi perhatian.

Penjaga gol Ireland, Caoimhin Kelleher yang bertindak sebagai kapten menggantikan Dara O'Shea dilihat sengaja tidak berjabat tangan dengan kapten Israel, Dor Peretz, walaupun melengkapkan protokol biasa bersama pengadil dan pegawai perlawanan.

Tindakan itu mengulangi apa yang dilakukan O'Shea sebelum perlawanan pertama minggu lalu di Debrecen, Hungary apabila beliau enggan berjabat tangan dengan kapten Israel ketika itu, Manor Solomon.

Ireland memenangi perlawanan pertama itu 3-0 menerusi tiga gol pada separuh masa pertama.

Ketegangan berterusan

Manor Solomon yang sebelum ini mengetuai Israel sekadar memulakan perlawanan dari bangku simpanan.

Sementara itu, penyerang Israel, Sayed Abu Farchi kembali ke skuad selepas menjalani penggantungan akibat dilayangkan kad merah susulan sambutan gol menyerupai aksi menembak ketika menentang Austria pada 25 September lalu.

Pemain tengah Ireland, Finn Azaz yang mempunyai keturunan Israel menerusi ibunya, turut berada dalam senarai pemain simpanan selepas diturunkan ketika menentang Austria sebelum ini.

Ireland mendahului perlawanan menerusi sepakan penalti Troy Parrott pada minit ke-39 selepas Peretz mengasari Jimmy Dunne di dalam kotak penalti.

Ketegangan turut tercetus di tepi padang ketika pemain kedua-dua pasukan berjalan menuju ke bilik persalinan pada waktu rehat, namun keadaan berjaya dikawal pengadil.

Israel akhirnya mengikat kedudukan menerusi jaringan Peretz pada minit ke-47.

Perlawanan dipindahkan ke venue neutral

Perlawanan itu pada asalnya dijadual berlangsung di Dublin, namun, Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI) memutuskan pada Jun lalu untuk memindahkannya ke venue neutral atas alasan operasi dan keselamatan.

Keputusan itu dibuat selepas wujud gesaan meluas supaya Ireland memboikot perlawanan melibatkan Israel sebagai bantahan terhadap perang di Gaza.

FAI turut menetapkan perlawanan berlangsung tanpa kehadiran penonton.

Langkah itu menyusuli usul yang dikemukakan FAI pada November tahun lalu yang menggesa UEFA menggantung penyertaan kelab dan pasukan kebangsaan Israel daripada pertandingan antarabangsa.

Tekanan terhadap pemain Ireland

Pemain Ireland berdepan tekanan hebat daripada orang ramai di negara itu yang secara tradisinya menunjukkan sokongan kuat kepada perjuangan Palestin.

Jurulatih Ireland, Heimir Hallgrimsson sebelum ini mengakui tekanan terhadap pasukannya semakin meningkat menjelang perlawanan pertama.

“Saya merasakan tekanan itu bertambah dari hari ke hari dan ia hampir mencapai tahap yang sukar dikawal,” katanya.

Bagaimanapun, hanya penjaga gol simpanan, Gavin Bazunu memilih untuk tidak terlibat dalam kedua-dua perlawanan menentang Israel.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, keputusan tersebut dibuat berasaskan kepercayaan peribadinya bahawa pembunuhan orang awam yang tidak berdosa adalah sesuatu yang salah.

Lebih 160 atlet Ireland turut menandatangani surat terbuka yang menggesa FAI menimbang semula keputusan meneruskan kedua-dua perlawanan.

Sebelum pasukan berlepas ke Hungary minggu lalu, sekumpulan penunjuk perasaan berkumpul di luar hotel penginapan pasukan di Dublin bagi menuntut pemain memboikot aksi tersebut.

Kesatuan sekerja SIPTU turut memasang papan iklan besar di pusat bandar Dublin dengan mesej menyeru pemain supaya mengikuti hati nurani mereka dan tidak terlibat dalam apa yang disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Bekas pengendali Ireland, Brian Kerr, pula mendakwa FAI telah kehilangan penghormatan sebahagian rakyat Ireland kerana meneruskan perlawanan itu.

Dakwaan penghinaan cetus kontroversi

Ketegangan antara kedua-dua pasukan turut memuncak apabila seorang wartawan Israel mendakwa pemain Ireland memanggil pemain Israel dengan gelaran menghina ketika pertemuan minggu lalu.

Dakwaan itu segera dinafikan pegawai komunikasi Ireland, Kieran Crowley, yang menyifatkannya sebagai satu pembohongan sebelum menamatkan sidang media pra-perlawanan.

Menurut laporan, pemain Ireland hanya memutuskan untuk meneruskan kedua-dua perlawanan selepas mengadakan perbincangan panjang sebelum aksi pertama di Debrecen.

Difahamkan, mereka mengundi dengan keputusan 14 berbalas lapan untuk meneruskan perlawanan selepas Bazunu menarik diri pada saat akhir.

Dalam perkembangan berkaitan, penyiar nasional Ireland, RTÉ, hanya menyediakan liputan minimum bagi kedua-dua perlawanan menentang Israel untuk memenuhi obligasi kontrak penyiaran.

RTÉ juga mengumumkan Ireland akan memboikot pertandingan Eurovision untuk tahun kedua berturut-turut susulan penyertaan Israel dalam acara berkenaan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement