BRASILIA: Pusat mengundi bagi pilihan raya umum Brazil ditutup pada Ahad ketika persaingan merebut jawatan presiden antara penyandang, Luiz Inácio Lula da Silva dan pencabarnya, Flávio Bolsonaro, kekal sengit dengan kedua-duanya dipisahkan jurang sokongan yang amat kecil.
Selepas membuang undi, Lula yang berusia 80 tahun menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai pertarungan antara demokrasi dan apa yang digelarnya sebagai “barbarisme.”
Sementara itu, Flávio Bolsonaro, 45, berkata, beliau mahu “membebaskan rakyat Brazil”.
Berdasarkan tinjauan pendapat yang dikumpulkan oleh BBC Brazil sebelum pengundian, perbezaan sokongan antara kedua-dua calon hanya sekitar dua mata peratusan.
Mengikut sistem pilihan raya Brazil, seseorang calon perlu memperoleh lebih daripada 50 peratus undi untuk menang secara langsung.
Jika tiada calon mencapai angka itu, pemilihan akan diteruskan ke pusingan kedua pada 25 Oktober.
Setakat lebih 90 peratus undi dikira, tiada calon berjaya melepasi ambang majoriti mutlak.
Flávio Bolsonaro mendahului dengan 48.05 peratus undi, manakala Lula memperoleh 43.97 peratus.
Lebih 158 juta layak mengundi
Menurut Tribunal Pilihan Raya Tertinggi Brazil (TSE), lebih 158.7 juta rakyat negara itu, termasuk kira-kira sejuta pengundi yang menetap di luar negara, layak mengundi dalam pilihan raya kali ini.
Walaupun terdapat 12 calon bertanding termasuk Lula, penganalisis menjangkakan pertandingan sebenar hanya melibatkan dua tokoh utama itu dengan calon lain diramalkan berkongsi sekitar 10 peratus undi keseluruhan.
TSE tidak menetapkan waktu khusus untuk pengumuman keputusan rasmi, namun keputusan dijangka diketahui dalam tempoh beberapa jam memandangkan proses pengundian dijalankan secara elektronik.
Pertarungan ideologi jadi tumpuan
Kemenangan Flávio Bolsonaro dilihat berpotensi mengukuhkan pengaruh pemimpin berhaluan kanan di Amerika Latin yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Sebaliknya, jika Lula berjaya mengekalkan kuasa, keadaan itu berkemungkinan menimbulkan cabaran baharu kepada Washington yang sebelum ini mempunyai beberapa perbezaan pendirian dengan pentadbiran beliau dalam isu perdagangan dan keselamatan.
Keputusan awal pengundian luar negara turut menunjukkan pola sokongan yang berbeza mengikut kawasan.
Di China, Lula memperoleh 56.63 peratus undi berbanding 31.33 peratus yang diraih Bolsonaro.
Lula turut mendahului di beberapa negara lain termasuk Korea Selatan, New Zealand dan Arab Saudi.
Namun, Bolsonaro menerima sokongan jauh lebih besar di Israel dengan 74.40 peratus undi sah, selain memperoleh 71.59 peratus undi sah di Jepun.
Penentu komposisi Senat
Selain memilih presiden, pilihan raya kali ini turut menentukan komposisi Senat Brazil yang baharu bermula Februari 2027.
Sebanyak 54 daripada 81 kerusi Senat dipertandingkan, mewakili dua pertiga daripada keseluruhan dewan berkenaan.
Ketika ini, Parti Liberal (PL) yang diterajui keluarga Bolsonaro merupakan blok terbesar dalam Senat, diikuti Parti Demokratik Sosial (PSD), yang merupakan sebahagian daripada gabungan kerajaan pimpinan Lula.
Bayang-bayang krisis politik lalu
Pilihan raya kali ini turut dipengaruhi oleh kesan politik daripada pilihan raya empat tahun lalu apabila Lula menewaskan Jair Bolsonaro, bapa kepada Flávio Bolsonaro, dengan majoriti tipis.
Selepas kekalahan itu, Brazil menyaksikan tempoh ketidakstabilan politik apabila Jair Bolsonaro disabitkan bersalah atas pertuduhan merancang rampasan kuasa selepas ribuan penyokongnya menyerbu bangunan Kongres Brazil.
Beliau kini menjalani hukuman penjara selama 27 tahun dan dilarang bertanding dalam pilihan raya.
Disebabkan masalah kesihatan yang berulang, Jair Bolsonaro dibenarkan menjalani tahanan di rumah, namun tidak dibenarkan membuat kenyataan awam atau menggunakan media sosial.
Walaupun berdepan sekatan tersebut, penganalisis berpendapat Flávio Bolsonaro terus mendapat sokongan penuh daripada bapanya dalam usaha merampas jawatan presiden daripada Lula. - Agensi