BEBERAPA jalan berlubang di kawasan Ramsbottom, Greater Manchester baru-baru ini didapati dilukis dengan imej zakar, lapor Evening Express.

Imej tersebut dilukis oleh seorang artis misteri yang menggelarkan diri sebagai Wanksy dengan menggunakan semburan cat.

Beberapa foto telah dimuat naik laman Facebooknya bagi mengesahkan tindakan tersebut.

Artis misteri ini menggunakan cat mudah tanggal dan ‘karyanya’ pernah muncul di kawasan Bury tahun lalu bagi membantu para pengguna jalan raya yang berhadapan dengan masalah jalan berlubang yang kritikal.

Menurut Wanksy di laman Facebooknya, pendekatan ini merupakan sumbangan kepada masyarakat dengan menggunakan seni untuk menunjukkan lubang yang merosakkan kenderaan dan membahayakan nyawa penunggang basikal.

Tindakan ini mengundang pelbagai respon dari masyarakat setempat dan pihak berkuasa.

Pihak berkuasa tempatan melabelkan tindakannya sebagai bodoh dan satu penghinaan serta menyifatkan simbol lucah itu sebagai tindakan vandalisme.

Ironinya, lukisan artis misteri ini juga yang mendorong pihak berkuasa tempatan untuk menurap jalan berlubang tersebut dengan segera untuk menutup simbol berkenaan.