Orang ramai yang mengambil keputusan untuk membela kucing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKB Bersyarat (PKPB) dituntut supaya bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan haiwan peliharaan mereka.

Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM), Khalid Rashid, berbesar hati apabila ramai menunjukkan minat membela kucing sebagai peneman di rumah, namun pada masa yang sama berharap pemilik menunaikan tanggungjawab sepanjang masa.

"Sepanjang PKP, ramai yang mula berminat untuk bela kucing. Apabila kami iklankan kucing yang diselamatkan untuk diambil sebagai peliharaan, respons orang ramai sangat baik.

"Tetapi dalam masa yang sama, saya harap pemilik-pemilik baharu ini dapat menanamkan rasa sayang dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kucing peliharaan mereka.

"Bela kucing satu tanggungjawab besar. Saya harap selepas tamat PKP ini, tidak ada mana-mana pihak yang buang kucing dengan alasan tak boleh jaga kerana sibuk dengan kerja," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Kelab Kucing Malaysia berharap kes buang kucing tidak meningkat selepas PKP tamat.

Dia yang mesra disapa sebagai Pak Khalid, mengakui, PKP menyaksikan pertambahan kucing di jalanan.

"Saya sendiri tidak pasti mengapa kucing-kucing ini dibuang. Mungkin ada salah faham berkenaan kaitan virus COVID-19 dengan kucing di peringkat awal dulu.

"Tetapi sekarang kita sudah diberitahu tak ada masalah untuk bela kucing dengan syarat sentiasa jaga kebersihan, jadi saya harap selepas ini tak ada lagi kes-kes buang kucing," ujarnya.

Tambahnya, KKM sentiasa cuba membantu para penyelamat haiwan jalanan terutama yang berada di bawah naungan kelab itu bagi memastikan mereka tidak kehabisan bekalan makanan dan sumber kewangan.

"Ada enam organisasi penyelamat kucing jalanan yang kami bantu kerana mereka mengalami sedikit kesukaran dalam tempoh PKP dan PKPB ini.

"Mereka (rescuer) ini kebanyakan bergantung dengan sumbangan orang ramai. Sepanjang PKP ini, sumbangan sedikit berkurangan dan kita faham situasi itu.

"Kami bekerjasama dengan syarikat pengeluar makanan kucing bagi membantu rescuer yang terjejas, sekurang-kurangnya memastikan bekalan makanan kucing-kucing tidak putus," katanya.

Beliau berkata, KKM tetap meneruskan kerja-kerja menyelamat kucing sepanjang PKP dan PKPB.

"Kami mendapat kerjasama sangat baik daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan polis untuk meneruskan aktiviti memberi makan kucing jalanan, asalkan kami mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya lagi.

Khalid juga menyimpan harapan tinggi untuk melihat tiada lagi kes pembuangan kucing semasa musim perayaan.

"Saya harap tabiat buruk membuang kucing demi nak balik kampung dihentikan tahun ini. Janganlah jadi pemilik yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan," ujarnya.

Mereka yang berminat untuk memberi sumbangan bagi membantu penyelamat haiwan jalanan, boleh mengunjungi laman Facebook Kelab Kucing Malaysia bagi mendapatkan maklumat lanjut.