Sebagai tulang belakang laman web fesyen e-dagang Fashion Valet (FV), Vivy Yusof adalah wanita yang berkebolehan.

Bermula sebagai sebuah bisnes 'Start-up' enam tahun lalu, FV telah berkembang dan melebarkan sayapnya sehingga menjadi sebuah empayar dengan dua kedai fizikal di dua buah negara.

“FV bermula dengan 3 orang dan 10 jenama pada 2010 dan sekarang, kami mencecah hampir 200 pekerja dan 500 jenama dari Asia Tenggara,” jelas Vivy yang merupakan pengasas syarikat tersebut bersama Fadzarudin Anuar – suami dan juga pengarah syarikat FV.

Vivy bermula sebagai seorang blogger pada 2008 dan beliau telah membawa penjenamaan sendiri untuk digunakan dalam perniagaan beliau dengan sokongan pengikut-pengikut media sosial yang setia.

Pengurusan syarikat

Bercakap mengenai menguruskan FV dan juga dUck – sebuah jenama tudung yang diasaskan oleh Vivy dan dipasarkan melalui FV, beliau merasakan bahawa mempunyai pasukan pekerja yang bagus adalah satu mata tambahan.

“Saya tidak perlu mengawal mereka sepanjang masa, saya akan berhubung dengan mereka dari semasa ke semasa dan kami berkomunikasi. Kuncinya adalah komunikasi.

“Selain daripada itu, mempunyai pejabat yang berdekatan adalah penting dan kerana dUck dan FV saling berhubung kait dari segi pemasaran dan pengurusan,” tambah beliau lagi.

Atas talian kepada luar talian

Enam tahun lalu apabila Vivy memulakan laman web atas talian, masih belum ramai yang berbelanja atas talian dan salah satu benda yang dibuat oleh mereka adalah mendidik pengguna melalui blog dan laman FV, bagaimana membeli-belah atas talian.

Untuk lebih maju, beliau faham bahawa FV perlu berkembang untuk memenuhi kehendak kelompok yang berbeza,syarikat beliau berkembang dari atas talian kepada luar talian. Pelancaran kedai ketiga FV pada Rabu (14 Disember) di Pavilion Kuala Lumpur – Vivy merasakan bahawa kedai fizikal akan menarik minat pasaran yang berbeza berbanding di atas talian.

“Untuk mana-mana syarikat yang ingin maju, mereka perlu hadir dalam dua iaitu atas talian dan luar talian,” tambah Vivy lagi.

Pasang surut bisnes

Pada 2012, dua tahun selepas syarikat tersebut bermula, mereka telah melakukan kesilapan yang membantu mereka berada di kedudukan sekarang.

Ketika itu, kehadiran pesaing dalam pasaran industri membuatkan mereka mengeluarkan perbelanjaan lebih bagi pemasaran atas talian, cuba untuk mendapatkan jenama-jenama dengan banyak untuk bernaung dibawah FV sehingga mereka kehilangan pelanggan kerana mereka merasakan FV mengutamakan kuantiti daripada kualiti.

Mereka dengan cepat mempelajari dari kesilapan dan kembali kepada matlamat sebenar. Vivy sentiasa mencari peluang dan menjenamakan sendiri perniagaan beliau dan menilai apa yang bagus dari FV, keunikan FV dan apa yang dilihat oleh pelanggan terhadap FV.

“Jangan membazir masa lagi, gunakan masa yang ada sebaiknya,” jelas Vivy mengenai masa dan pengurusan.

Vivy merasakan bahawa mereka perlu fokus, termasuk memberi tumpuan kepada pereka yang bagus terutamanya pereka dari Asia.

Masa depan industri

Melancarkan kedai ketiga FV di Pavilion Kuala Lumpur pada 14 Disember, beliau ingin memfokuskan perniagaannya di Malaysia, Singapura dan Brunei secara menyeluruh dan Jakarta merupakan sebuah pasaran yang sukar untuk ditembusi namun beliau bergerak perlahan dalam mengembangkan FV ke sana.

“Masa depan industri ini adalah cerah kerana dunia atas talian adalah tanpa batasan – ke mana kita pasarkan, berapa banyak dapat kita berkembang dan seberapa jauh dapat kita jangkau pengguna, terdapat banyak perkara yang boleh dilaksanakan di Fashion Valet,” Vivy bercakap mengenai masa depan industri sebelum mengakhiri wawancara.