MINGGU ini riuh mengenai kejadian di mana kanak-kanak mengganggu solat yang sedang dilakukan jemaah di dalam masjid seperti yang viral di dalam media sosial.

Ada kanak-kanak yang menarik kerusi seorang jemaah sehingga dia terjatuh dan ada juga jemaah wanita yang kena pukul dengan kanak-kanak ketika sedang solat.

Perbuatan ini mendapat perhatian warganet sehingga ada yang berpendapat kanak-kanak sepatutnya tidak dibawa ke masjid, bahkan ada mengharamkan mereka daripada rumah ALLAH itu.

Selain itu, timbul banyak persoalan di sebalik kejadian-kejadian seumpamanya. Apakah hukum membawa kanak-kanak ke masjid? Siapakah yang bertanggungjawab menjaga mereka?

Persoalan-persoalan ini dijawab oleh Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam laman web rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang bertajuk Bayan Linnas Siri Ke-63: Masjid dan kanak-kanak.

Menurutnya, sejarah telah membuktikan kanak-kanak telah dibawa ke masjid untuk diajarkan ibadah solat serta pembelajaran ilmu.

"Bahkan kanak-kanak perlulah dibawa ke masjid semenjak kecil supaya perasaan cintakan masjid serta cintakan solat berjemaah dapat dipupuk lebih awal dalam diri mereka," katanya.

Hukum membawa kanak-kanak ke masjid

Zulkifli menjelaskan, para fuqaha membahagikan hukum membawa kanak-kanak ke masjid kepada dua:

1 - Kanak-kanak yang belum mumaiyiz (dapat membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk), dilarang atau tidak dibenarkan untuk dibawa ke masjid menurut sebahagian fuqaha Maliki, Hambali dan Syafie.

Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW: "Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil kalian." (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

2 - Kanak-kanak dibolehkan untuk hadir ke masjid sebagaimana pendapat Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani, Imam Asy-Syaukani dan lain-lain berdasarkan hadis:

"Aku melihat Nabi mengimami solat sedang Baginda mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulullah. Apabila rukuk, Baginda meletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula." (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut Imam Asy-Syaukani, ia menunjukkan keharusan membawa masuk kanak-kanak ke dalam masjid.

Berdasarkan kedua-dua pendapat tersebut, Zulkifli merumuskan bahawa jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk dijaga serta mengganggu jemaah, maka lebih utama untuk tidak membawa mereka ke masjid.

"Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh ibu bapanya akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu bapanya. Kami syorkan dalam keadaan sebegini, ibu bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya di hujung sekali.

"Jika kanak-kanak mampu berdikari, aulanya (lebih utama) dia diletakkan di saf kanak-kanak.

"Seyogia juga wujudnya penyelia yang mengawasi dan membimbing kanak-kanak di dalam saf dan solat mereka agar kanak-kanak dapat melakukan solat dengan sebaik mungkin. Di samping itu, dia (penyelia) dapat menasihatkan kanak-kanak daripada berbuat bising dengan mengajarkan adab-adab dan meraikan kehormatan masjid," katanya.

Perkara sama turut dipersetujui pendakwah Ustaz Azhar Idrus dan beliau menerangkan kanak-kanak bermain di dalam masjid ini bukanlah perkara baharu dan ia telah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW.

"Kanak-kanak bermain di dalam masjid bukanlah perkara yang pelik dan ia sinonim dengan meraka yang suka bermain. Ke mana sahaja mereka pergi, mereka akan bermain termasuk di dalam masjid.

"Apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang dewasa ialah menegur mereka. Walaupun mereka tidak mendengar teguran kita pada awalnya, namun mereka akan ingat teguran itu dan lama-kelamaan mereka akan berubah sedikit demi sedikit," katanya dalam sesi soal jawab yang disiarkan di akaun YouTube miliknya.

Beliau menjelaskan, teguran dan nasihat daripada orang dewasa perlu sentiasa dibuat seperti mana hadis Rasulullah SAW: "Agama itu nasihat." (Hadis Riwayat Muslim)

Tambahnya lagi, ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan masing-masing dengan berpesan kepada anak-anak supaya tidak menggangu jemaah lain yang sedang beribadah. - Sinar Harian