SETIAP negara di dunia ini memiliki simbol yang disifatkan sebagai imej nasional sekali gus menjadi perlambangan kebersatuan masing-masing. Haiwan adalah salah satu simbol utama yang digunakan untuk mewakilinya.

Dipilih berdasarkan aspek warisan tradisi, ekologi, mahupun nilai mitologi, ia bukan sekadar simbol malah berperanan memberi gambaran mudah kepada masyarakat luar tentang kekayaan semula jadi sesebuah negara, falsafah budaya dan aspirasi tempatan.

Ada negara yang menyenaraikan lebih daripada satu jenis haiwan sebagai haiwan nasional mereka. Berikut diberikan satu contoh haiwan kebangsaan yang mewakili setiap negara Asia Tenggara.



THAILAND

Gajah (Elephas Maximus)

Gajah (Elephas maximus)

Gajah yang ditemui di Thailand ialah gajah India, subspesies gajah Asia. Pada pertengahan tahun 2007 dianggarkan 3,456 ekor gajah peliharaan yang tinggal di Thailand dan kira-kira 1,000 gajah liar. Ia mula menjadi spesies terancam pada tahun 1986.

Gajah menjadi ikon kerana mempunyai impak yang besar terhadap budaya Thai, kerana ia mewakili kekuasaan raja yang memerintah. Oleh itu, ia disanjungi dan dibiakkan. Pada awal tahun 1900-an, gajah pernah dipapar pada bendera awal Thailand.


MYANMAR

Harimau Indochina (Panthera tigris corbetti)

Harimau Indochina (Panthera tigris corbetti)

Selain burung merak hijau yang mewakili imej monarki, harimau juga menjadi pilihan Myanmar sebagai imej nasionalnya. Harimau kini antara spesies yang dilindungi di Myanmar dan mendapat gelaran itu kerana ciri uniknya. Imej harimau turut digunakan sebagai simbol kebangsaan Myanmar.


FILIPINA

Helang Filipina

Helang Filipina (Pithecophaga jefferyi)

Burung kebangsaan negara itu, helang Filipina, mula ditabalkan sebagai simbol negara pada 1995.

Melalui Proklamasi No. 615, yang ditandatangani oleh Presiden Fidel V. Ramos ketika itu, helang Filipina menjadi haiwan kebangsaan. Ia hanya terdapat di Filipina dan diangkat sebagai simbol kebanggaan negara. Burung pemangsa itu juga dianggap sebagai spesies unggul dalam pemuliharaan hidupan liar Filipina.


MALAYSIA

Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni)

Harimau Malaya

Harimau Malaya bersaiz kecil namun ia terkenal dengan keberanian dan kekuatannya. Gambar Harimau Malaya terdapat pada Jata Negara dan dalam logo beberapa institusi dan produk lain di Malaysia seperti Polis Diraja Malaysia, Maybank, Proton dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Pasukan bola sepak kebangsaan juga dipanggil Harimau Malaya.

Bagaimanapun, Harimau Malaya diklasifikasikan sebagai haiwan yang terancam ekoran banyak pihak yang memburunya bagi mendapatkan kulit, gigi dan dagingnya buat pelbagai tujuan. 

Harimau Malaya yang tinggal dalam habitat liar kini kurang daripada 200 ekor sahaja dan atas sebab itu pelbagai usaha didesak oleh pelbagai organisasi demi mempertahankan populasinya yang kian berkurangan.


SINGAPURA

Singa

Singa (Panthera leo)

Tahukah anda Singapura berasal daripada perkataan “Singa” dan “Pura” yang bermaksud Kota Singa? Maka tidak hairanlah haiwan kebangsaan Singapura adalah singa yang melambangkan keberanian, kecemerlangan dan kekuatan, cerminan nilai yang diepgang rakyat negara itu.


LAOS

Gajah India (Elephas maximus indicus)

Gajah India (Elephas maximus indicus)

Ia merupakan simbol kemakmuran dan mewakili kekuatan negara. Di Laos, orang ramai menghormati haiwan istimewa ini melalui pelbagai perayaan dan upacara.

Pemilihan gajah sebagai haiwan kebangsaan Laos juga dipengarui oleh agama Buddha, agama yang menjadi anutan majoriti rakyatnya.


VIETNAM

Kerbau Air (Bubalus bubalis)

Kerbau (Bubalus bubalis)

Vietnam adalah sebuah negara pertanian dan kerbau dianggap sebagai haiwan peliharaan keluarga bagi rakyat Vietnam, khususnya para petani. Spesies bovine terbesar itu berkait rapat dengan landskap luar bandar negara tersebut.

Bukan sahaja menjadi sumber makanan untuk manusia, ia juga merupakan sumber kuasa atau aset yang besar dalam membajak ladang dan mengangkut manusia serta tanaman. Haiwan itu juga menjadi lambang ketahanan dan kekuatan yang membentuk kemakmuran ekonomi berasaskan pertanian di Vietnam. Tidak hairanlah ia digelar sebagai 'traktor Asia'.

Di banyak negara Asia, adakalanya ia biasa dipanggil kerbau air untuk membezakan spesies ini dengan kerbau Afrika. 


INDONESIA

Biawak komodo

Biawak Komodo (Varanus komodoensis)

Hanya ditemui di Indonesia, kebanyakannya di Pulau Flores dan Komodo. Reptilia terancam ini secara purata boleh membesar sehingga 3 meter panjang dan berat hingga 70 kilogram (walaupun pernah ada rekod yang mencapai sehingga lebih 100 kilogram).

Oleh kerana saiz badannya yang besar, komodo memiliki pergerakan yang lambat iaitu sekitar 8-10 kilometer per jam, namun begitu, dalam situasi terancam atau takut, mahupun ketika agresif mengejar mangsa, mereka dapat lari hingga kelajuan 18 kilometer per jam.

Antara ciri unik komodo adalah memiliki bisa dan indera hidu yang kuat. Komodo diketahui dapat menghidu sesuatu dari jarak 5 hingga 11 kilometer.


TIMOR LESTE

Buaya

Buaya

Buaya akan sentiasa melindungi telurnya sehingga menetas, dan menjaga anak-anaknya hingga dewasa. Sifat itu menjadi falsafah bagi rakyat Timor Leste tentang tanggungjawab dan kekuatan dalam membina masyarakat.

Sebagai reptilia terbesar dan telah wujud seiring zaman prasejarah, buaya menjadi lambang kelangsungan hidup, ketahanan dan ketabahan dalam menempuhi perubahan zaman dan persekitarannya.


KEMBOJA

Seladang

Lembu liar kouprey

Kouprey merupakan haiwan terlindung yang sukar ditemui secara merata pada zaman ini. Raja Sihanouk telah memilihnya menjadi haiwan nasional Kemboja pada tahun 1960-an, kerana menganggap haiwan ini unik dan bersifat mistikal.

Haiwan ini kebiasaannya berada dalam kumpulan, dan ini mengajar pegangan rakyat Kemboja iaitu tentang kelebihan untuk sentiasa bersatu, bertoleransi dan menyedari kekuatan bersama.

Kurang dari 200 ekor kouprey dipercayai masih berada dalam habitat liar di Kemboja, malah ada yang menganggapnya sudah pupus. Ancaman utamanya adalah aktiviti pemburuan bagi mendapatkan daging, tanduk dan tengkoraknya bagi tujuan perubatan tradisional.