Aroma menyelerakan kambing bakar sebaik sahaja menjejakkan kaki di halaman rumah pemilik RezkiRich Farm, Nizar Rabawi menghilangkan kepenatan perjalanan dua jam penulis dan jurugambar dari Shah Alam
ke Kampung Banting, Sabak Bernam.

Pemuda berusia 25 tahun itu membawa penulis dan jurugambar melawat kandang kambing syarikat itu yang terletak hanya beberapa langkah daripada rumah beliau dan ibu bapa.

Di bawah teduhan serambi rumah kampung itu, dikelilingi hijau tanaman, dan dijamu pula keenakan kambing golek, Nizar bercerita tentang susah-senangnya mengusahakan ternakan kambing bersama rakan Hafiz Alimi sejak hujung tahun 2013.


Cabaran

Dalam masa setahun lebih itu pelbagai cabaran telah beliau hadapi.

Menurut Nizar, tempoh yang paling getir adalah lima bulan pertama iaitu semasa beliau masih mencari-cari ruang pasaran.

Meskipun pernah terdetik untuk berputus asa, Nizar tidak mengalah. Beliau menangani masalah yang dihadapi dengan banyak bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman, selain menyertai kursus keusahawanan anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Selepas mempraktikkan ilmu yang dipelajari di kursus itu seperti selok-belok pemasaran, perakaunan dan penjenamaan, perusahaan beliau maju dan semakin dikenali.

Nizar kini mampu menarik nafas lega dengan hasil jualan RM20 ribu hingga RM30 ribu sebulan.

Antara lain syarikatnya menawarkan khidmat sembelih dan melapah kambing, aqiqah, katering, masakan kambing dan kambing golek, infaq dan derma, selain susu kambing yang dijenamakan sebagai Susu Sunnah.

"Tetapi saya belum enjoy lagi. Masih banyak yang saya mahu lakukan.

"Saya bercadang untuk mempelbagaikan lagi produk berasaskan kambing seperti T-shirt atau sticker kereta, dan saya juga mahu membantu orang lain berniaga," hurai anak muda itu yang turut memperkenalkan program 'perniagaan kambing tanpa kandang' bagi mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan tetapi kekurangan modal.

Melalui perusahaan itu beliau juga berpeluang membantu penduduk kampung menjana sedikit pendapatan dengan mengagihkan kerja kepada mereka, terutamanya ketika tidak menang tangan menguruskan tempahan yang banyak.


Langkah sulung

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah itu sebenarnya tidak pernah menjangkakan akan 'terjebak' dengan dunia penternakan.

Memiliki diploma dalam bidang Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan daripada Politeknik Shah Alam, beliau sebenarnya membayangkan akan bekerja sebagai seorang arkitek.

Bagaimanapun, setelah dua kali ditimpa kemalangan setiap kali baru memulakan pekerjaan di bandar, Nizar akhirnya memilih untuk menetap di kampung sahaja.

"Niat saya juga untuk menjaga ibu ayah di kampung memandangkan semua adik-beradik lain sudah berhijrah ke tempat lain," ujar anak kelima daripada enam orang adik-beradik itu.

Hasil ajakan Hafiz, beliau mengikuti kursus penternakan kelolaan Akademi Usahawan MJ Fatonah. Kursus yang ditaja Kumpulan Perangsang Selangor (Perangsang) itu telah membuka hati Nizar kepada bidang penternakan dan perniagaan.

"Selepas kursus itu terus sahaja kami start. Kami bermula dengan seekor, kemudian kami dapat pula sepasang kambing daripada Perangsang," ceritanya.

Selain mudah dijaga berbanding ternakan seperti ayam, mereka memilih untuk membela kambing kerana mengambil berkat sunnah Nabi Muhammad SAW.

"Kami dapat membantu orang yang melaksanakan ibadah aqiqah dan ibadah qurban. Kambing juga biasanya menjadi pilihan ramai untuk sedekah atau infaq ke rumah anak yatim dan pusat tahfiz," jelas beliau.

Nizar menasihatkan mereka yang berniat untuk berniaga supaya tidak ragu-ragu untuk bertindak.

"Memang ada cabaran tetapi anggaplah cabaran itu sesuatu yang menyeronokkan. Yang penting mulakan langkah pertama, selepas itu barulah kita akan lebih nampak apa yang perlu dilakukan," katanya.


CSR Kumpulan Perangsang Selangor

Nizar adalah antara lebih 1,800 usahawan yang telah meraih faedah daripada program Rangsangan Usahawan Selangor (RUS) di bawah unit Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, yang bermula pada tahun 2013.

Ketua Unit CSR syarikat itu, Fauzi Ghazali menekankan bahawa matlamat utama unit itu ditubuhkan adalah untuk membangunkan kedudukan sosio-ekonomi masyarakat Selangor.

"Harapan kami ialah untuk meningkatkan kualiti hidup dan membantu pembangunan sosial termasuklah pembangunan modal insan masyarakat khususnya di Selangor," jelasnya.

Syarikat itu, antara lain, menawarkan bantuan kepada kumpulan sasaran seperti graduan, ibu tunggal dan golongan kurang upaya, untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran seperti penternakan, jahitan, membaiki pendingin hawa, urutan dan spa, dan percetakan.

"Ada dua matlamat. Satu untuk mereka bekerja dengan orang, dan satu lagi bagi mereka yang berminat dan mempunyai bakat untuk berniaga sendiri, Perangsang akan beri modal permulaan.

"Selalunya modal yang kita bagi bukan dalam bentuk wang tunai. Kita bagi dalam bentuk alatan contohnya untuk jahitan kita bagi mesin jahit dan ternakan kita bagi haiwan ternak," jelasnya.

Menurut Fauzi, bagi menjayakan program latihan itu Perangsang berkerjasama dengan penyedia latihan yang terdiri daripada para peniaga yang sudah ternama.

Peserta-peserta yang berjaya digalakkan pula untuk menjadi penyedia latihan di samping membantu sosio ekonomi masyarakat sekeliling dengan menyediakan peluang pekerjaan.

Keberkesanan CSR Perangsang dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat telah diikhtiraf di peringkat Asia apabila apabila syarikat itu dianugerahkan 'Asia Responsible Entrepreneurship Awards' oleh Enterprise Asia menerusi kategori Pemerkasaan Sosial (Social Empowerment), Jun lalu.

Dalam majlis yang berlangsung pada CSR International Summit 2015 di Macau itu, Perangsang disenarai pendek daripada 300 syarikat besar di benua ini yang terlibat dalam anugerah itu.

Selain program keusahawanan, Unit CSR Perangsang turut menyokong pembangunan sukan di Selangor khususnya dalam sukan bola sepak, renang, basikal, boling, badminton dan skuasy. – Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid