Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, walaupun umat Islam menyambut hari raya tahun ini tanpa kebebasan untuk melawat ahli keluarga dan rakan taulan, namun dengan menyambutnya di rumah juga sudah memadai, memandangkan situasi penularan COVID-19 kini.

"Kita sedar bahawa perintah berkurung (Perintah Kawalan Pergerakan) ini adalah suatu perintah yang penting untuk kita turuti kerana jika tidak penyakit ini akan merebak kepada lebih ramai rakyat negara ini.

"Walaupun kita kecewa raya kali ini tidak seperti dulu, tapi Insya-Allah kalau kita dapat kurangkan (penularan) penyakit ini hingga ia berhenti, mungkin tahun depan kita dapat beraya seperti biasa," ujar beliau yang turut menyatakan rakyat negara ini perlu bersyukur kerana ada keadaan di negara lain yang jauh lebih teruk.

Tambahnya: "Di Malaysia, kita tertib, dan kita patuh pada peraturan. Insya-Allah penyakit ini akan berkurangan."

Video berdurasi lebih 12 minit yang dimuat naik di laman Facebook rasmi itu juga memaparkan kisah dan cerita budaya dan suasana hari raya dahulu berbanding sekarang, bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

“Kita ada satu acara yang kita lakukan pada hari raya. Saya yang pertama (bersalaman), yang kedua Tun Siti, lepas tu anak yang tertua sekali bersalam dengan saya, lepas tu Tun Siti.

"Lepas tu dia duduk sebelah Tun Siti, lepas tu yang lain pulak bersalam,” jelas Tun Mahathir ketika ditanya rutin biasa yang dibuat pada pagi Syawal.

Banyak juga kisah menarik yang diceritakan oleh kedua-dua pasangan tersebut dalam video itu terutamanya mengenai kisah peribadi mereka ketika menyambut Syawal.

Malah tanpa segan silu dan secara berseloroh, Tun Mahathir berkongsi cerita tentang duit raya mereka sekeluarga serta juadah yang biasa dijamu pada pagi syawal ketika ditanya mengenai apakah beliau turut memberikan duit raya kepada Tun Siti Hasmah.

Sumber Facebook TunDrMahathir

“Tak, tak.. dah bagi duit raya tiap-tiap bulan dah. Biasanya pagi raya kita makan ketupat. Ketupat pulut, ketupat nasi dengan serunding dengan kari ataupun kuah kacang," ujar beliau.

Mengimbau kenangan beliau ketika menyambut hari lebaran ketika masih pada zaman kanak-kanak, Tun Mahathir menjelaskan banyak yang beliau lalui dulu sudah tiada ketika ini.

Malah jelasnya kemeriahan dahulu berbeza ketika cara meraikan hari raya terutamanya menjelang malam raya.

“Yang seronok sangat tu dekat-dekat nak raya kita buat tanglung. Tanglung sendiri, berbentuk bintang. Dulu kita tak pakai lampu tapi kita pakai dian dalam tanglung.

"Biasanya malam-malam kita tutup semua tingkap dan pintu (hari biasa). Kita tak keluar daripada rumah. Tapi pada hari raya ni, malam raya kita boleh keluar,” kongsinya.