GAYA HIDUP
[KOLUMNIS] Falsafah baju Melayu lambang kebitaraan derji
![[KOLUMNIS] Falsafah baju Melayu lambang kebitaraan derji [KOLUMNIS] Falsafah baju Melayu lambang kebitaraan derji](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/81749122799_bajumelayu.jpg)
Selain kain samping, songkok, destar, tanjak dan tengkolok juga menjadi pelengkap pemakaian baju Melayu. Lebih sempurna lagi apabila dipakai bersama-sama capal dan keris bagi majlis tertentu. - Gambar hiasan/BERNAMA
PESONA derji baju Melayu,
Busana tradisi tak kan layu;
Falsafah berseni dirgahayu,
Bitara budi akal Melayu.
Sejarah penciptaan baju Melayu telah bermula semenjak zaman kesultanan Melayu Melaka, iaitu pada 700 tahun yang lalu, bahkan diyakini lebih awal lagi. Suatu ketika baju Melayu dikenali sebagai baju kurung yang dipakai oleh kaum lelaki dan perempuan di Tanah Melayu.
Baju Melayu pada asalnya mempunyai reka bentuk yang singkat dan ketat seperti yang dipakai oleh pesilat yang bertujuan melancarkan gerak-geri persilatan. Namun rekaannya melalui evolusi dan inovasi dari zaman ke zaman sehinggalah potongan dan rekaannya dipelbagaikan.
Revolusi baju Melayu telah dicatatkan dalam kitab Sejarah Melayu. Diceritakan bahawa Tun Hassan, iaitu anak seorang pembesar Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah telah mengambil inisiatif untuk menginovasikan rekaan baju Melayu. Yang ketat dilonggarkan dan yang singkat dilabuhkan.
Lengan baju dipanjangkan sehingga sebatas mata dengan tangan atau pergelangan tangan. Seluarnya dipanjangkan hingga sebatas mata kaki dan pada bentuk leher tidak mengalami perubahan. Kancing pada baju Melayu tersebut ada yang hanya menggunakan satu kancing sahaja, iaitu pada bahagian atas sehingga bentuk bajunya terbuka (Ibnu Hadjar Emha, 2004).

Foto: Bernama
Di Malaysia lazimnya baju Melayu dikenali sebagai baju Melayu Teluk Belanga dan Cekak Musang. Baju Melayu Teluk Belanga diilhamkan oleh Sultan Abu Bakar yang mengambil nama tempat di Singapura, iaitu Teluk Belanga. Rekaan tersebut diperkenalkan sebaik sahaja pihak Inggeris menyerahkan Teluk Belanga kepada kerajaan Johor sepenuhnya.
Pemakaian baju Melayu sering dipadankan dengan kain samping. Kain samping yang dipakai di luar baju dinamakan baju Melayu berdagang luar manakala kain samping yang dipakai di dalam baju dikenali sebagai baju Melayu berdagang dalam.
Kain samping yang dipakai pada paras atas lutut ialah simbolik bahawa si pemakai ialah orang bujang manakala ikatan kain samping yang dipakai melebihi paras lutut menandakan si pemakai ialah suami orang. Kain samping yang dipadankan dengan baju Melayu biasanya daripada fabrik songket atau kain pelekat dan yang terkini ialah kain benang Johor.
Selain kain samping, songkok, destar, tanjak dan tengkolok juga menjadi pelengkap pemakaian baju Melayu. Lebih sempurna lagi apabila dipakai bersama-sama capal dan keris bagi majlis tertentu.
Baju Melayu yang dipakai oleh kaum wanita pula dikenali sebagai baju kurung. Baju kurung direka mengikut kearifan setempat. Contohnya baju kurung Johor yang mempunyai kekek dan pesak. Baju kurung Pahang pula berkekek dan berpesak kembang. Manakala baju kurung Kedah direka tidak berpesak, potongannya pendek dan berlengan singkat.

Foto: Bernama
Baju kurung dipadankan dengan kain ikatan ombak yang lazimnya beralun di kanan atau kiri mengikut keselesaan si pemakai. Alun ombak dengan bilangan tiga menandakan si pemakai ialah anak dara manakala alun ombak dengan bilangan lima menandakan si pemakainya ialah isteri orang (Siti Zainon Ismail, 2024).
Baju kurung dicipta dengan potongan yang labuh dan longgar bagi menepati keperluan syarak agar aurat seseorang itu terpelihara. Dinamakan dengan “kurung” untuk mengurung sifat dan keperibadian seseorang agar tidak terlalu lincah, bersopan-santun dan berbudi bahasa. Namun yang lebih utama kerana busana ini dikurung oleh syarak.
Pakaian Melayu itu haruslah dikurung dengan ketentuan syariat. Apabila dikenakan di badan, si pemakainya terkurung dan terhindar daripada sifat angkuh dan sombong, tidak bercakap bohong dan terpeliharalah iman supaya tidak terpesong (Tun Mohd Hilmi, 2007).
Sengaja istilah ini digunakan bagi menampakkan falsafah di sebalik penciptaan baju kurung tersebut. Rekaannya labuh, longgar, selesa dan tidak mengetam. Sehingga hari ini pakaian tersebut menjadi identiti bangsa Melayu dan diangkat menjadi baju kebangsaan.
Baju Melayu Teluk Belanga mempunyai satu lubang kancing yang melambangkan keesaan Allah yang bersifat tunggal – yang tidak boleh dianjak dan tidak boleh dibelah. Leher Teluk Belanga yang berbentuk bulat bermaksud alam, iaitu bumi yang bersifat bulat yang membawa konsep takdir, iaitu kehidupan manusia yang sesekali berada di atas dan kadang-kadang di bawah namun seiring dengan keesaan Allah yang satu.

Foto: Bernama
Digelar pula baju Melayu Cekak Musang apabila unsur alam diambil sebagai ilham, iaitu lingkaran kolar baju atau “cekak” tinggi atau leher tegak seperti leher seekor musang. Ia berbutang lima yang merujuk pada Rukun Islam yang membentuk tiang asas agama Islam, iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu, puasa pada bulan Ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji.
Batang kerah pada baju Melayu Cekak Musang dimatikan dengan bentuk piramid terbalik yang dijahit di tengah-tengah bawah bahagian dada. Ia membawa maksud letaknya titik pusat tubuh yang dikaitkan dengan titik pusat bumi, iaitu kaabah – kiblat umat Islam (Azimin Daud, 2025).
Begitu juga dengan poket yang disemat pada baju Melayu bukanlah sebarangan letaknya. Lazimnya baju Melayu direka dengan tiga poket atau kocek, iaitu satu di atas pada bahagian dada kiri selari dengan kedudukan jantung dalam tubuh manusia dan dua lagi letaknya di bawah kanan dan kiri selari dengan paras perut manusia.
Dari sudut kesihatan, jantung dan perut merupakan bahagian yang paling penting untuk dijaga. Pemakanan dan jiwa nurani manusia menentukan akhlak seseorang. Getaran aura akan menyihatkan jantung secara halus yang akan mengepam darah untuk kesihatan tubuh.
Peringatan juga kepada si pemakai agar memasukkan benda yang baik-baik di dalam poket di kedudukan jantung seperti bunga segar, mata wang atau sapu tangan dan bukannya racun, kotak rokok dan telefon selular.

Foto: Bernama
Kedudukan poket tersebut juga merupakan peringatan kepada manusia hidup bahawa dunia ini bersifat sementara. Yang perlu dibawa ke alam akhirat ialah tiga perkara, iaitu tauhid, fekah dan tasawuf. Falsafah tauhid merujuk pada usaha mencari bekalan yang mengeyangkan tubuh zahir dan batin. Fekah pula sebagai panduan ketaatan kepada Allah Taala dan pelengkap kehidupan ialah mendekatkan diri kepada Tuhan menerusi tasawuf.
Begitulah pemikiran dan falsafah yang terkandung dalam setiap inci rekaan baju tradisional. Begitu rinci ciptaan baju Melayu dizahirkan oleh derji yang berilmu tinggi dan berfikiran luas. Mutakhir ini kebanyakan derji tidak mengambil maklum atau tidak mempedulikan lagi asas rekaan asal baju Melayu dengan alasan mengikut arus permodenan.
Namun bagi orang Melayu yang mementingkan jati diri bangsa, hal seumpama ini seharusnya tidak diabaikan. Peliharalah falsafah di sebalik pakaian kebangsaan ini agar terpelihara nilai yang diwarisi oleh nenek moyang kepada anak cucu pewaris bangsa.
Glosari: Derji ialah tukang jahit (sl)
* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami