PASIR GUDANG: Bagi mengubat kerinduan menyambut Hari Gawai tanpa keluarga dan sanak saudara yang jauh di kampung halaman, komuniti Dayak di sini berkumpul malam tadi untuk meraikannya sesama mereka.

Meskipun disambut secara sederhana, sambutan malam Hari Gawai tidak kurang meriah dengan alunan muzik diiringi tarian ngajat serta pelbagai juadah tradisional disediakan untuk dinikmati bersama.

Pengerusi Persatuan Dayak Muslim Johor Bahru Mohammad Nicholas Abdullah berkata bagi mengekalkan adat dan tradisi, mereka yang tidak pulang ke kampung di Sarawak berkumpul bagi melakukan persediaan terutamanya juadah tradisional bagi meraikan perayaan itu yang tidak dapat disambut seperti kelaziman dua tahun lepas berikutan pandemik COVID-19.

Beliau berkata kebanyakan komuniti Dayak tidak pulang kerana telah mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman semasa sambutan Hari Krismas Disember tahun lepas selain faktor harga tiket yang agak mahal.



"Malam Hari Gawai kali ini kita dapat berhimpun masak juadah tradisional seperti ayam pansuh, laksa Sarawak, kuih penyaram dan sebagainya.

"Kita amat bersyukur setelah dua tahun, kita dapat laksana aktiviti dan rai Hari Gawai dan belajar kembali adat lama. Lebih-lebih lagi kami yang sudah masuk Islam tetapi budaya Dayak tetap kami teruskan," katanya ketika ditemui bersama komuniti Dayak, di sini malam tadi.

Dia yang berasal dari Kampung Moyan Lidang, Kota Samarahan, Sarawak dan telah menetap di Johor sejak 30 tahun lepas berkata mengekalkan adat dan budaya amat penting bagi komuniti Dayak terutama mualaf sepertinya.



"Ia penting kerana kami daripada golongan kaum Dayak, sebab dalam al-Quran Allah ada menyebut kita dijadikan daripada berbagai bangsa untuk mengenal antara satu sama lain.

"Agama Islam itu tetap menjadi pegangan, dalam masa sama adat dan budaya kita kekalkan dan rai mengikut cara Islam," katanya.

Beliau berkata di Johor Bahru sahaja terdapat lebih 1,000 orang Dayak Muslim dan mereka sering mengadakan aktiviti secara bersama.

"Kalau kita buat program seperti malam Gawai selalunya ramai, tetapi kerana Hari Gawai jatuh hari bekerja jadi kurang penyertaan," katanya.

-- BERNAMA