Ratusan kereta mewah Lamborghini gah menyusur merentasi Milan semalam (Rabu) menandakan bermulanya jelajah Itali bersempena menyambut ulang tahun ke-50 syarikat berkenaan.

350 buah kereta mewah itu dengan kombinasi 190,000 kuasa kuda membentuk konvoi sepanjang empat kilometer panjang yang bermula di Istana Sforza di Kota Milan dan akan berakhir Sabtu ini di ibu pejabat syarikat berkenaan di Bologna.

Pemandu dari 29 buah negara yang mengambil bahagian dalam jelajah Lamborghini itu ada yang menggunakan kenderaan syarikat, kereta sendiri dan yang diberikan penganjur.

Pemandu teramai yang mengambil bahagian adalah dari Britain dengan 71 buah kereta diikuti Jerman, Itali dan Switzerland dengan masing-masing 30 buah kereta.

Indonesia, Jepun, Kuwait, Lubnan, Singapura, Korea Selatan, Tunisia dan Ukraine turut menyertai jelajah itu.

"Lamborghini merupakan impian dan simbol kemegahan Itali sejak 50 tahun lalu," kata ketua eksekutif syarikat berkenaan Stephan Winkelman yang memberitahu jelajah itu menggambarkan kejayaan global syarikat itu.

Jelajah itu akan merentasi pantai Resort dei Marmi, Rom dan bandar-bandar di Orvieto dan Arezzo.

Lamborghini bermula pada 1948 dengan model Trattori dan bahagian kereta mewahnya diasaskan pada tahun 1963.

Kini syarikat berkenaan mempunyai 120 wakil pengedar di seluruh dunia dan diletakkan di bawah kumpulan Volkswagen.

Polis Dubai bulan lalu mengumumkan mereka telah membeli kereta peronda Lamborghini bernilai RM1.6 juta untuk meningkatkan imej mewah di kawasan tumpuan pelancong.