SEBUAH badan perunding yang berpusat di United Kingdom, We Are Social menjalankan kajian mengenai tabiat membeli-belah menggunakan aplikasi di telefon pintar.

Kajian tersebut menyenaraikan negara berdasarkan peratusan pengguna yang membeli-belah menggunakan telefon pintar berbanding populasi negara secara keseluruhan.

Bagi kajian bulan Januari 2016, Malaysia menduduki tangga kelima dengan 31 peratus pengguna gemar membeli-belah melalui telefon pintar, lapor Wall Street Journal.

Aplikasi Shopee dan Carousell - Foto fail

Rantau Asia jadi tumpuan aplikasi lelong

Dalam kalangan 10 negara teratas, tujuh merupakan negara Asia.

Fenomena ini dilihat sebagai perkembangan industri lelong atas talian yang semakin popular di Asia.

Beberapa syarikat pembina aplikasi telefon pintar menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk berinteraksi antara satu sama lain bagi menjual barangan terpakai.

Selain aplikasi tempatan seperti Mudah dan Lelong, beberapa aplikasi baharu seperti Shopee dan Carousell turut mencuri tumpuan di Malaysia sebagai aplikasi beli-belah di telefon pintar.

Pengguna disediakan dengan cara yang mudah untuk menjual barangan hanya dengan memuat naik gambar dan beberapa baris penerangan produk.

Ciri GPS dan mesej peribadi pula membenarkan pengguna berbincang untuk menetapkan harga dan lokasi pertemuan.

Menurut presiden kumpulan Garena, Nick Nash, Shopee kini mempunyai kira-kira 5,000 pekerja dan telah meraih lebih tiga juta pengguna semenjak pelancarannya November lalu di Taiwan dan beberapa negara Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia and Malaysia.

Berikut merupakan 10 negara paling gemar membeli-belah menggunakan aplikasi telefon pintar:

1. Korea Selatan 41%

2. Emiriah Arab Bersatu 40%

3. China 34%

4. Hong Kong 33%

5. Malaysia 31%

6. Thailand 31%

7. Singapura 30%

8. Sepanyol 27%

9. United Kingdom 27%

10. Amerika Syarikat 27%