KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dan bayi berdepan pelbagai cabaran yang berpunca daripada kuman dan alergen apabila sistem imun mereka mulai matang secara beransur-ansur, dan adakalanya menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada pelbagai penyakit kulit.

Pakar Perunding Dermatologi Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway, Dr Heah Sheau Szu berkata, setiap keadaan kulit mempunyai pendekatan pengurusan yang unik dan diagnosis yang tidak tepat boleh menyebabkan rawatan mungkin tidak berkesan, sekali gus melambatkan pemulihan atau boleh memudaratkan.

Beliau berkata, dalam menguruskan penyakit kulit, adalah penting untuk mengetahui masalah yang biasa berlaku, namun lazimnya, masalah kulit kanak-kanak bersifat benigna (tidak serius) dan tidak berbahaya walaupun ada masanya boleh menjadi serius dengan komplikasi lain.

"Penjaga dinasihatkan agar merujuk kepada doktor perubatan bagi mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat sekiranya mereka tidak pasti. Setelah didiagnosis, pesakit dinasihatkan mengikuti pelan rawatan yang diberikan doktor.

"Elakkan menggaru kerana tindakan itu boleh memburukkan lagi jangkitan, sentiasa pastikan kawasan yang dijangkiti bersih dan kering. Kanak-kanak juga digalakkan untuk memakai pakaian longgar dan selesa bagi mengelakkan geseran di kawasan yang dijangkiti," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Heah berkata, penyakit kulit yang lazim bagi kanak-kanak antaranya termasuklah dermatitis atopik (AD/ekzema), hiperplasia kelenjar sebum, kudis api, moluskum kontagiosum (ketuat lembut), kudis buta dan ruam lampin.

"AD atau ekzema menyebabkan keradangan dan kerengsaan dengan adanya tompokan yang menyebabkan kulit gatal, merah dan kering. Ia sejenis penyakit kulit paling lazim dalam kalangan kanak-kanak dengan 13 peratus golongan itu menghidap penyakit berkenaan.

"Hiperplasia kelenjar sebum muncul sebagai bintik-bintik kecil seperti jerawat berwarna putih kekuningan di sekitar kawasan hidung dan pipi bayi baru lahir yang disebabkan oleh rangsangan hormon androgenik ibu terhadap pertumbuhan kelenjar sebum," katanya.

Beliau berkata, kudis api pula merupakan keadaan kulit berjangkit yang kelihatan seperti luka melecur berisi cecair, biasanya pada bahagian dada, belakang badan, bahu, perut, lengan dan kaki kanak-kanak bawah umur lima tahun yang biasanya berlaku berikutan jangkitan bakteria sekunder disebabkan oleh gigitan serangga, cacar air, kudis buta dan ekzema.

Menurut Dr Heah, moluskum kontagiosum ialah jangkitan virus pada kulit yang kelihatan seperti benjolan kecil atau bintil yang biasanya berkelompok, manakala kudis buta merupakan jangkitan parasit yang menyebabkan kegatalan teruk dan ruam bersisik pada bahagian jari, pergelangan tangan, ketiak dan pangkal paha.

"Ruam lampin merupakan sejenis keadaan kulit yang lazim berlaku di kawasan lampin akibat iritasi berpanjangan pada kulit daripada pendedahan terhadap najis, air kencing dan geseran, manakala tanda lahir vaskular benign iaitu tompokan berwarna merah atau merah jambu yang biasanya terletak di dahi dan belakang leher dinamakan 'tampalan salmon', 'ciuman malaikat' dan 'gigitan bangau' akan pudar apabila kanak-kanak semakin membesar," katanya.

Beliau berkata semua penyakit termasuk masalah kulit kanak-kanak perlu diuruskan dengan diagnosis yang tepat dan diikuti dengan rawatan yang sesuai.

"Sesetengah keadaan kulit seperti AD boleh berlaku dalam pelbagai rupa dan bentuk yang mungkin boleh menyebabkan kekeliruan dan disalah anggap sebagai penyakit lain. Persamaan antara masalah kulit ini kadangkala menyukarkan diagnosis," katanya.

Dr Heah berkata rawatan untuk penyakit kulit kanak-kanak juga berbeza bergantung pada keadaan tertentu, contohnya keadaan kulit seperti "tampalan salmon" dan hiperplasia kelenjar sebum tidak berjangkit dan boleh sembuh dengan sendiri, manakala kudis buta boleh berjangkit dan seluruh ahli keluarga perlu dirawat.

Semua kanak-kanak katanya, berhak mendapat khidmat pakar yang terbaik, justeru masalah kulit pada kanak-kanak boleh diuruskan dengan baik dengan adanya diagnosis yang tepat dan rawatan yang berkesan.

Sebagai hospital kuaternari swasta terbesar negara dengan 22 subkepakaran pediatrik, antara yang terbanyak bagi hospital swasta di Malaysia, SMC percaya akan kepentingan pendidikan berterusan dalam kalangan pengamal perubatan pediatrik.

Hal ini jelas dilihat menerusi penganjuran Simposium Pediatrik SunMed 2023 oleh SMC baru-baru ini yang menarik penyertaan lebih 4,200 pengamal penjagaan kesihatan profesional termasuk dari Malaysia, Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Simposium yang dianjurkan secara fizikal dan maya itu memberi peluang kepada para peserta untuk menyelami pelbagai perspektif tentang pendekatan pelbagai disiplin dalam penyakit pediatrik.

-- BERNAMA