SEBAGAI pemilik kereta, pastinya anda sudah tahu apabila tiba masanya, tayar harus ditukar bagi memastikan pemanduan selamat dan lancar.

Bila tayar sudah mula botak, pastikan anda segera menukarnya kerana memandu dengan tayar seperti itu sangatlah berbahaya.

Selain hanya mengetahui kondisi tayar yang sudah teruk, apakah perkara perlu anda tahu sebelum menukar tayar?

Jika selalu mengisi atau pam angin tayar, pasti anda akan perasan dengan beberapa nombor dan huruf yang tercetak di bahagian sisi tayar.

Apakah kod nombor dan huruf tersebut?

Sebenarnya ia bukanlah dicetak dan diletakkan di situ untuk hiasan semata. Kod pada tayar tersebut membawa maksud yang sangat penting melibatkan tayar tersebut.

MASKULIN tertarik dengan satu hantaran oleh Facebook Pakar Tayar Kereta yang menjelaskan tentang bagaimana caranya untuk membaca kod yang terletak pada sisi atau sidewall tayar.

Ikuti perkongsian tersebut di bawah.


PENTING UNTUK TAHU KOD PADA TAYAR

Salah satu sebab kenapa anda perlu tahu membaca kod tersebut ialah ia boleh mengelak anda jadi mangsa penipuan apabila ingin menukar tayar.

Bukanlah semua bengkel begitu tetapi tidak salah untuk kita pelajarinya agar lebih berwaspada daripada menjadi mangsa.

Berikut cara membaca kod tayar dengan betul.

Sebagai contoh kod yang tertera seperti 185/65R13 96H

185 = Lebar (mm)
65 = Nisbah aspek (Lebar / Tinggi) dalam %
R = Radial
13 = Diameter rim (inci)
96 = Index beban (Had maksimum bebanan) – rujuk jadual dlm gambar
H = Had maksimum kelajuan


KOD TARIKH KELUARAN

Selain itu, pada bahagian sisi tayar juga anda boleh mendapati maklumat tentang tarikh keluaran tayar.

Jelas page Pakar Tayar Kereta, kalau lihat di sisi tayar, ada empat angka tercatit, contohnya 2511.

Maksud di sebalik nombor tersebut ialah, tayar ini dikeluarkan oleh kilang pada minggu ke-25 tahun 2011.

Penting untuk tahu tarikh supaya anda tahu tayar yang anda beli adalah baharu.

Admin nasihatkan agar membeli tayar tidak lebih dari empat ke lima bulan selepas pengeluaran tayar dari kilang.

Jadi anda dapat pastikan tayar anda baharu dan cukup masa untuk proses pematangan getah. Getah kalau terlalu lama akan dapat macam-macam masalah.

Ia menyebabkan tayar jadi keras, mudah retak, menggelembung, mengurangkan cengkaman pada jalan, sekali gus berpotensi berlaku kemalangan serius.

Elakkan guna tayar yang sama lebih dari empat tahun meskipun bunga tayar masih tebal.

Maklumlah, ada sahaja pemandu yang jarang menggunakan kereta. Mungkin sebab jarang guna kenderaan tersebut atau kereta terlalu banyak.

Keluar sahaja sedikit duit utk tukar tayar baharu agar keselamatan lebih terjamin.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada anda! 


Kredit: Facebook Pakar Tayar Kereta

*Artikel asal di Maskulin


Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !