KOTA BHARU: Belenggu pandemik COVID-19 mungkin merencatkan sedikit kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, namun seorang pengusaha kedai makan di Pasar Lama Pasir Tumboh, di sini, punya cara tersendiri bagi membangkitkan semangat iaitu dengan menawarkan nasi kerabu dan minuman teh ais secara percuma kepada pelanggan yang dapat menjawab teka-teki berkisar kemerdekaan negara.

Pengusaha Kedai Makan Kak Anne, Noraini Mohamed, 41, berkata tujuan beliau semata-mata mahu membangkitkan semangat patriotik di samping mengembalikan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, sekurang-kurangnya dalam kalangan pelanggan dan masyarakat sekitar tempat itu.

"Setiap hari sehingga 31 Ogos nanti, saya akan pilih tiga orang pelanggan secara rambang untuk ditanya soalan pengetahuan am dan sejarah berkisar Hari Kebangsaan. Pelanggan yang berjaya jawab soalan akan diberi makan nasi kerabu dan minuman teh ais secara percuma di kedai ini.

"Usaha ini mungkin kecil, namun saya harap sedikit sebanyak dapat mengingatkan masyarakat tentang pentingnya sambutan ini kepada negara," katanya ketika ditemui pemberita di kedainya, di sini hari ini.

Bukan itu sahaja, Noraini turut bersemangat menghias kedainya dengan Jalur Gemilang lebih-lebih lagi apabila dibantu badan bukan kerajaan (NGO) Team Sahabat Mann 23 Jam.



Katannya, demi menyemarakkan lagi suasana sambutan Hari Kebangsaan, beliau sanggup memperuntukkan sebanyak RM1,500 bagi membeli bendera dan kain rentang untuk hiasan kedainya.

"Semangat tambah membara apabila ada rakan-rakan dari pasukan 'Team Sahabat Mann 23 Jam' datang membantu kami. Ini juga sebahagian cara mempromosikan perniagaan kami setelah lama ditutup kerana pandemik COVID-19," katanya.

Noraini, yang mengusahakan kedai makan tersebut bersama suami, Azmi Ismail, 47, sejak 2018 berkata kedainya baru seminggu beroperasi semula dengan menawarkan sajian sarapan pagi dan makan tengah hari terutama masakan Kelantan seperti nasi kerabu.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Team Sahabat Mann 23 Jam, Mohd Azman Mohd Ghani berkata pihaknya terpanggil untuk menghulurkan bantuan menghias kedai tersebut sebagai cara menarik pelanggan datang selepas sekian lama sepi akibat pandemik COVID-19.

"Kami tahu ramai peniaga yang terkesan dengan pandemik ini, sekurang-kurangnya dengan menghias Jalur Gemilang yang berwarna-warni dapat memeriahkan suasana kedai dan menarik pelanggan makan di sini.

"Namun, kami mengehadkan hanya 10 daripada 150 ahli hadir memberi sokongan sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Menurut Mohd Azman, selain membantu peniaga, Team Sahabat Mann 23 Jam juga aktif melakukan kerja-kerja kebajikan termasuk mengagihkan bantuan makanan kepada orang ramai yang terkesan akibat pandemik menerusi dana dikumpul daripada kalangan ahlinya.

-- BERNAMA