Dikenali sebagai spesies monyet paling terkecil di dunia, pygmy marmoset dijual secara haram pada harga AS$4,000 (RM16,000) kepada warga China yang sekadar mahu memilikinya atas dasar trend atau hobi.
Berat pygmy marmoset dikatakan lebih ringan dari sebuah telefon pintar iPhone serta digelar sebagai thumb monkeys (monyet ibu jari) kerana saiznya yang sebesar ibu jari manusia.
Kredit Gambar: AP
Difahamkan, memiliki haiwan itu merupakan satu trend, dengan rata-rata masyarakat di China menganggap monyet kecil itu sebagai satu hadiah yang paling lumayan bagi tahun ini.
Tetapi menurut portal People's Daily, tindakan tersebut merupakan satu isu besar kerana walaupun pygmy marmoset dikenali sebagai haiwan yang comel, ia merupakan spesies terancam. Ia juga tidak berasal dari China.
Monyet kecil itu biasanya ditemui di Amerika Selatan seperti di hutan Amazon, dan itu bermakna setiap seekor akan dipindahkan dari habitat asalnya untuk dijual sebagai haiwan peliharaan.
Menurut seorang pakar, proses pemindahan itu akan memberi tekanan yang serius kepada haiwan tersebut, sehingga boleh menyebabkan kematian.
Kredit Gambar: AP
Pygmy marmoset juga memerlukan penjagaan khas, perhatian dan perlu dipantau sepanjang masa bagi memastikan kelangsungan hayat dan spesiesnya.
Oleh itu, orang ramai diseru untuk tidak membeli monyet itu secara haram kerana ia hanya akan membahayakan spesies berkenaan.