Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mempelawa perokok tegar yang menghadapi kesukaran untuk berhenti daripada tabiat merokok untuk mendapatkan rawatan dan 'penawar' secara percuma di semua klinik kesihatan di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata pihaknya menyediakan Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok di semua klinik kesihatan termasuk di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk membantu kumpulan perokok itu.

"Perokok yang sukar menghentikan tabiat merokok tetapi berazam untuk berhenti boleh datang ke tempat itu bila-bila masa tanpa dikenakan sebarang bayaran," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Sambutan Minggu Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di Taman Tasik di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof.

Dr Ahmad Razin berkata perkhidmatan untuk berhenti merokok itu turut disediakan oleh pihak swasta menerusi perkhidmatan berhenti merokok "mQuit"yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.

"Perokok harus menyedari tabiat merokok boleh mengundang penyakit kronik yang membawa maut termasuk penyakit kanser, paru-paru, serangan jantung dan angin ahmar," katanya.

-- BERNAMA