Statistik baru menunjukkan pengguna telefon pintar Apple melayari video dua pertiga lebih kerap berbanding pengguna telefon pintar yang lain.

Trend peningkatan itu menjadikan pereka telefon pintar berusaha mencipta skrin yang lebih besar dengan resolusi yang lebih tinggi pada peranti. Jika dibandingkan, Apple berkelebihan dari segi kualiti paparannya dan ternyata faktor itulah yang menjadi kelemahan kepada pengeluar telefon pintar yang lain.

Saiz skrin iPhone 4S dan iPhone 5 masing-masing 3.5 inci dan 4 inci paparan retina. Jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy SIII, skrinnya bersaiz 4.8 inci. Meskipun ketinggalan dalam saiz skrin, iPhone masih menjadi peranti yang popular untuk tontonon video mudah alih.

Menurut statistik terkini yang dikeluarkan oleh syarikat video Ooyala, iPhone mencatatkan 67 peratus tontonan video mudah alih dan selebihnya Android dengan 33 peratus.

Malah menurut IDC, telefon Android memiliki pegangan 68% dari segi jualannya ke seluruh dunia pada tahun 2012, manakala Apple memiliki pegangan 19%.

Statistik yang dikeluarkan oleh Ooyala bukanlah kayu ukur utama. Tetapi ianya mewakili 200 juta pengguna yang signifikan di seluruh dunia. Kajian tersebut mengundang persoalan jika Galaxy Note II tidak digunakan untuk menonton klip video, apa gunanya skrin yang luas itu?