Semasa ada kalangan peniaga yang hilang sumber pendapatan di musim tengkujuh, sebaliknya bagi seorang peniaga yang menyediakan perkhidmatan mencuci karpet di sini, musim itu memberikan pendapatan yang berganda untuk perkhidmatannya.

Ahmad Fasidi Mamat, 35, yang mengusahakan perniagaan itu di Taman Bestari di sini berkata sejak musim tengkujuh lalu, bilangan pelanggan yang menghantar karpet ke kedainya meningkat berbanding waktu biasa.

"Kebiasaannya, kedai ini menerima 60 helai karpet setiap bulan namun jumlah itu meningkat sekali ganda setiap kali musim tengkujuh.

"Keistimewaan syarikat kami ialah dapat membersihkan karpet yang kotor dalam tempoh tujuh hari sahaja berbanding kebanyakan kedai lain yang mengambil masa sebulan untuk menyiapkannya," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Foto Bernama

Meskipun ada yang melihat keadaan ini sebagai peluang untuk memperoleh keuntungan berganda, pemilik Fafahaz @ My Laundry Shop itu tidak mahu mengambil kesempatan terhadap pelanggannya kerana sedar kesusahan yang dialami mangsa banjir, sebaliknya beliau memberi diskaun 25 peratus bagi mengurangkan beban mereka.

Foto Bernama

"Niat saya ikhlas mahu membantu, malah dalam kejadian ribut pada awal Oktober lalu juga saya berikan diskaun 35 peratus kepada mangsa ribut yang menghantar karpet yang kotor akibat bencana itu.

"Kami juga menerima panggilan untuk membersihkan karpet yang dipasang secara 'built in' di premis pejabat dan masjid, di mana bagi bayaran untuk perkhidmatan di masjid, kami berikan diskaun 50 peratus," katanya.

-- BERNAMA