Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan perlu menyediakan garis panduan serta melakukan pemeriksan lebih ketat terhadap jenis makanan yang boleh dijual di sekolah.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (Ascom) William Huee berkata selain itu, agensi penguat kuasa perlu selalu membuat pemeriksaan terhadap penjaja yang menjual makanan dan minuman di luar kawasan sekolah.

Beliau berkata langkah itu penting bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

"Walaupun kebanyakan pengusaha tidak lagi menjual makanan rapu dan kini mematuhi garis panduan kantin, tetapi masih ada pihak tidak bertanggungjawab yang berbuat demikian. Cabaran juga datang daripada penjaja yang menjual makanan di luar kawasan sekolah.

"Makanan dan minuman ini selalunya mengandungi banyak bahan pengawet dan pewarna, melebihi jumlah yang dibenarkan Kementerian Kesihatan serta boleh membahayakan kesihatan," katanya kepada Bernama di sini.

Huee mendakwa beliau juga mendapati sesetengah sekolah mempunyai mesin layan diri yang menjual makanan rapu dan minuman berkarbonat.

Beliau berkata di samping menyebabkan obesiti, makanan diproses dan mengandungi terlalu banyak bahan pengawet mendedahkan kanak-kanak kepada penyakit boleh dicegah seperti masalah hati dan jantung serta kencing manis jika dimakan secara berlebihan.

Huee, yang menjadi pengusaha kantin sekolah sejak 40 tahun lepas, berkata beliau beberapa kali didenda pihak berkuasa tempatan ketika mula-mula melibatkan diri dalam perniagaan itu kerana menjual makanan tidak sihat.

Bagaimanapun, pada 1984, beliau melibatkan diri dengan kempen jangka panjang untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan orang dewasa tentang bahaya memakan terlalu banyak makanan tidak sihat.

"Matlamat saya ialah untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan 1.5 juta kanak-kanak sekolah tentang bahaya memakan makanan tidak sihat. Kami ingin mendidik kanak-kanak dan memberitahu mereka bahawa terdapat begitu banyak makanan sihat alternatif yang boleh mereka pilih.

"Begitu juga dengan peniaga. Sebagai contoh, daripada menjual minuman berkarbonat dan air sirap, mereka boleh jual minuman barli atau cincau kepada pelajar. Kita patut jadikan kesihatan kanak-kanak sebagai keutamaan kita, bukan hanya mahu mengaut wang," kata Huee.

Pakar pemakanan Persatuan Kanser Kebangsaan Chan Wan Thung berkata ibu bapa mempunyai peranan penting untuk memperkenal dan menyemai tabiat memakan makanan sihat dalam kalangan kanak-kanak.

"Kajian menunjukkan sekiranya seseorang kanak-kanak mengalami obesiti dan masalah itu tidak diatasi, risiko kanak-nanak itu mengalami penyakit kronik seperti masalah jantung apabila dewasa, adalah lebih tinggi," katanya.

Chan berkata terdapat sekurang-kurangnya 11 jenis kanser yang ada kaitan dengan obesiti, termasuk kanser usus, kanser hati, kanser perut, kanser esofagus dan kanser pankreas.