KUALA LUMPUR: Biji-Biji Initiative, sebuah organisasi perusahaan sosial telah bekerjasama dengan Falmouth University untuk mereka bentuk produk bagi membantu mewujudkan ekonomi kitaran daripada sisa plastik, yang bakal memberi manfaat kepada komuniti melalui projek yang dinamakan Responsible Innovation Plastics Project for Life and Environment (RIPPLE).

Projek itu adalah satu daripada tiga projek yang menerima geran pembiayaan sehingga £10,000 (RM57,281) yang ditawarkan oleh British Council Malaysia.

“Di Malaysia, sisa plastik menjadi kebimbangan utama.

“Bukan sahaja Malaysia menjadi tapak pelupusan plastik untuk lebih daripada 19 negara, ramai rakyat Malaysia juga mempunyai sikap out of sight, out of mind," kata Ketua Pegawai Eksekutif Biji-Biji Initiative, Juliana Adam.

Bersama Drummond Masterton, Ketua Fakulti Seni Bina, Reka Bentuk dan Dalaman Universiti Falmouth, mereka menghasilkan idea bagi bengkel kerjasama yang akan membantu golongan muda mengembangkan idea dan kemahiran yang diperlukan untuk menangani masalah sisa plastik.

“Pelajar dari Universiti Falmouth akan bekerja dalam pasukan untuk menginovasi peluang produk baharu, berdasarkan penyelesaian kitar semula plastik berskala kecil yang sedang dijalankan yang kini ada dengan komuniti tempatan di Malaysia,” jelas Drummond.

Bagi Juliana, Project RIPPLE adalah tentang mencipta peluang, bukan sahaja untuk belia, tetapi juga alam sekitar.

Dia berharap bermula dengan rekaan yang lebih kecil dan bersifat setempat, ia akan berkembang, bukan sahaja rekaan dan produk tetapi juga tingkah laku pengguna.

“RIPPLE, Beyond Bins dan banyak projek dan organisasi pemuliharaan alam sekitar tempatan yang lain bukan sahaja melihat ke arah kemampanan alam sekitar, tetapi juga menyediakan peluang mata pencarian kepada komuniti terpinggir dan berisiko,” katanya kepada Astro AWANI.

Projek itu yang kini dalam fasa akhir, bakal berakhir sekitar Disember ini.