KUALA LUMPUR: Menjelang Hari Raya Aidilfitri, umat Islam sibuk membuat persiapan untuk perayaan tahunan itu seperti dekorasi rumah serta sajian tradisional untuk dihidangkan pada hari raya, namun, berapa ramaikah antara kita yang sedar kepentingan menyediakan sajian berkhasiat dan mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan?

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Sunway, Sunway City, Dr Lim Sim Yee dalam kenyataan berkata makan berlebihan ketika hari raya boleh membawa kepada penambahan berat badan terutama apabila lebih banyak kalori yang diambil daripada yang dibakar.

"Ini boleh mengakibatkan kesan jangka panjang kepada kesihatan seperti peningkatan risiko obesiti dan kondisi kesihatan berkaitan seperti kencing manis dan penyakit jantung. Makan terlalu banyak atau mengambil makanan tinggi lemak dan tinggi gula juga boleh membawa kepada masalah penghadaman seperti ketidakcernaan, kembung perut dan sembelit," katanya.

Dr Lim menasihatkan orang ramai untuk memilih makanan yang lebih sihat seperti sajian panggang atau bakar berbanding bergoreng atau hidangan tinggi lemak, serta memilih makanan dengan protein tanpa lemak, bijiran penuh dan banyak sayur-sayuran, selain mengawal jumlah makanan dengan mengambil jumlah yang kecil bagi setiap sajian dan makan perlahan-lahan untuk mengelakkan makan berlebihan.

Beliau berkata menguruskan pengambilan gula adalah satu cabaran ketika musim perayaan memandangkan banyak sajian, minuman dan pencuci mulut tradisional tinggi kandungan gula, dan orang ramai dinasihatkan untuk memilih meminum air biasa atau minuman tanpa gula.

"Anda juga boleh cuba membuat minuman sendiri dengan mencampurkan air dengan buah-buahan dan herba. Buah-buahan segar boleh memenuhi keinginan kepada makanan manis tanpa penambahan gula.

"Anda juga boleh cuba membuat pencuci mulut tradisional versi yang lebih sihat menggunakan pemanis semula jadi seperti kurma, madu dan sirap mapel, bukannya gula putih. Mengurangkan amaun gula dalam resepi dan tambah lebih banyak bahan berserat tinggi seperti bijiran penuh atau buah," katanya.

Susulan kanak-kanak juga cenderung mengambil biskut dan snek perayaan, minum air berasaskan sirap dan bergas ketika menziarahi sanak saudara, Dr Lim berkata ibu bapa patut menjadi contoh yang baik dengan menjadi suri teladan kepada amalan pemakanan sihat dan membuat pilihan sihat dalam pengambilan makanan mereka.

Beliau berkata ibu bapa sepatutnya meletakkan had pada berapa banyak makanan manis dan berkalori tinggi boleh diambil anak mereka semasa tempoh perayaan dan menggalakkan anak-anak berkongsi makanan dengan keluarga dan kawan-kawan, daripada menikmatinya sendiri.

"Galakkan mereka untuk melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki atau menunggang basikal. Ini boleh membantu membakar kalori berlebihan dan tenaga, dan mempromosi gaya hidup sihat," kata Dr Lim.

Dr Lim turut berkongsi petua untuk menyediakan makanan tradisional yang lebih sihat dan memilih makanan lebih sihat; antaranya sajian rendang menggunakan potongan daging kurang lemak seperti dada ayam atau daging tanpa lemak, dan mengurangkan santan. Orang ramai juga boleh memasukkan sayuran seperti cili belanga dan brokoli untuk meningkatkan kandungan nutrien.

Bagi ayam masak merah, orang ramai boleh menggunakan dada ayam tanpa kulit berbanding paha yang lebih tinggi kandungan lemak, dan mengurangkan minyak. Memasukkan lebih banyak sayur-sayuran seperti lobak dan bayam untuk meningkatkan kandungan zat, dan memilih pengganti yang lebih sihat kepada garam dan gula, dengan herba dan rempah untuk memberi rasa kepada sajian.

Kuah kacang boleh dibuat daripada mentega kacang semula jadi daripada mentega kacang diproses, yang mungkin mengandungi garam dan gula tambahan, dan mengurangkan kandungan gula serta memasukkan bahan tinggi zat seperti halia dan bawang putih untuk menjadikannya lebih sihat.

Sayur lodeh selalunya dibuat daripada pelbagai jenis sayur termasuk kekacang, terung dan kubis. Ia adalah hidangan rendah kalori, kaya nutrien, tinggi serat dan antioksidan. Untuk menjadikan ia lebih sihat, kurangkan santan atau pilih versi rendah lemak.

Bagi acar, iaitu sejenis sajian sayur jeruk yang biasanya dihidangkan sebagai sajian sampingan, ia rendah kalori, berserat tinggi dan kaya vitamin dan mineral. Untuk menjadikan acar lebih sihat, kurangkan penggunaan garam dan gula.

Ketupat yang dibuat daripada beras pulut pula membekalkan tenaga untuk tubuh. Sajikan ia bersama makanan berasaskan sayur untuk menjadikan ia lebih sihat, sementara bagi lemang, gunakan santan rendah lemak.

-- BERNAMA