Skip to main content

Dunia

APEC Vietnam 2027 buka tirai dengan mesyuarat tidak rasmi pegawai kanan pada Disember

Penganjuran mesyuarat berkenaan memberi peluang kepada Gia Lai untuk memperkenalkan Vietnam, rakyat dan budayanya kepada dunia, selain memacu pembangunan sosioekonomi tempatan. - Gambar fail
Penganjuran mesyuarat berkenaan memberi peluang kepada Gia Lai untuk memperkenalkan Vietnam, rakyat dan budayanya kepada dunia, selain memacu pembangunan sosioekonomi tempatan. - Gambar fail
Advertisement

GIA LAI (VIETNAM): Mesyuarat Tidak Rasmi Pegawai Kanan (ISOM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), yang menjadi acara rasmi pertama APEC Vietnam 2027, dijadual berlangsung di Quy Nhon, wilayah Gia Lai di tengah Vietnam, dari 7 hingga 9 Dis ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Perkara itu diumumkan pada sidang media anjuran Jawatankuasa Rakyat Gia Lai pada 27 Nov.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Rakyat wilayah itu Nguyen Thi Thanh Lich berkata penganjuran mesyuarat berkenaan memberi peluang kepada Gia Lai untuk memperkenalkan Vietnam, rakyat dan budayanya kepada dunia, selain memacu pembangunan sosioekonomi tempatan.

Advertisement

Mesyuarat itu akan menghimpunkan pegawai kanan daripada 21 ekonomi anggota APEC, wakil Sekretariat APEC, pertubuhan antarabangsa, pakar serta komuniti perniagaan dari dalam dan luar negara.

Simposium mengenai keutamaan APEC 2027 sahaja dijangka menarik penyertaan antara 350 hingga 400 peserta.

Advertisement

Sempena mesyuarat itu, Gia Lai turut menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan serta promosi pelancongan, perdagangan dan pelaburan, termasuk majlis penutupan Tahun Melawat Vietnam – Gia Lai 2026 dan persidangan promosi pelaburan, perdagangan dan pelancongan.

Lich berkata wilayah itu turut mempergiat usaha mempromosikan kepentingan Tahun APEC 2027, peranan Vietnam serta visi Gia Lai untuk menjadi destinasi hijau, mampan dan bertaraf antarabangsa bagi perdagangan, pelaburan serta pelancongan segmen mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

Dalam aspek persiapan, Gia Lai mempergiat pemeriksaan keselamatan makanan, kualiti air dan tahap kebersihan di premis penyediaan makanan, lokasi acara serta tempat penginapan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan peserta.

Lich berkata tiga keutamaan diberikan perhatian, iaitu memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan perubatan dan tindak balas kecemasan, mengawal keselamatan makanan di sepanjang rantaian bekalan serta mencegah penularan penyakit dan mengurus risiko lain.

Menurut beliau, bagi acara diplomatik antarabangsa berskala besar seperti ISOM APEC 2027, penjagaan kesihatan dan keselamatan makanan bukan sekadar sebahagian daripada persiapan logistik, malah mencerminkan keupayaan penganjuran, profesionalisme, tanggungjawab dan kredibiliti Gia Lai. 

-- BERNAMA-VNA

Must Watch Video

Advertisement