Pakar kanser berpendapat tabiat menghisap cecair nikotin menggunakan rokok elektronik menjadi punca penggunanya menghidap penyakit maut, iaitu kanser.

Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr Dalilah Kamaruddin berkata proses pengewapan cecair nikotin, yang dihasilkan daripada rokok elektronik, akan disedut pengguna dan wap nikotin mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik.

Beliau berkata asid tersebut merupakan bahan kimia pemangkin kepada berlakunya kanser di dalam tubuh manusia.

"Lagipun, kita tak boleh guna cecair nikotin walaupun sukatannya sedikit kerana dikhuatiri hasil resapannya ke dalam darah akan mengubah kandungan efisien dalam badan, kerana selain nikotin, cecair itu juga mengandungi gliserin.

"Malahan nikotin yang diwapkan itu sama dengan asid nitrik yang boleh menyebabkan kanser," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

BACA: E-Rokok di Malaysia, fakta yang perlu anda tahu

BACA: Kajian: Vaping 95 peratus 'lebih selamat' berbanding rokok - pakar

VIDEO: Subramaniam: Henti sementara penggunaan Vape, Shisha

Dr Dalilah mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, yang menasihati pengguna shisha dan vapor supaya berhenti menggunakannya buat sementara waktu sehingga keputusan mengenai risikonya diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Kementerian itu kini sedang berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan penggunaan rokok elektronik itu.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selvaraj menyokong cadangan kerajaan itu dan alasan pengguna untuk berjimat daripada membeli batang rokok adalah tidak wajar.

"Kita seharusnya melihat gejala ini dari segi kesihatan dan bukannya kos. Kalau nak berjimat tetapi kesihatan diabaikan, jika sakit sudah tentu akan memakan kos yang lebih tinggi," katanya.

Dalam pada itu, hasil tinjauan Bernama hari ini di sekitar Kampung Baru, di sini mendapati, rata-rata mereka tidak akan berhenti menggunakan vapor selagi keputusan kajian belum dikeluarkan.

Seorang Pegawai Perhubungan Awam dari Shah Alam, Saiful Hazim Abdul Razak, 29, ketika ditemui di sini berkata beliau tidak akan berhenti menggunakan vapor walaupun mengetahui terdapat bahan yang berbahaya di dalam vapornya.

Beliau menggunakan rokok elektronik jenis 'Mod Zero Geeco' yang dibeli secara dalam talian pada harga RM120.

"Saya tidak akan berhenti, lagipun saya hisap vape ini sesekali sahaja kerana saya bukan perokok tegar. Pada pandangan saya ia sebenarnya lebih selamat berbanding rokok biasa," katanya yang menggemari perisa 'sirap bandung'.

Seorang juruteknik dari Manjung, Perak, Syafiq Ali, 24, yang merupakan perokok tegar turut tidak mahu berhenti walaupun beliau tidak terlalu ketagih dengan vapor kerana katanya ia tidak memberi kepuasan berbanding rokok biasa.

Beliau mula menjadi perokok sejak di bangku sekolah, kini sanggup membelanjakan RM500 untuk membeli vapor hanya kerana mahu mengikuti trend terbaharu.

Dalam pada itu, vapor juga dijadikan alasan untuk berhenti merokok bagi Mohd Luqman Hashim, 26, dari Cheras.

"Saya sudah lima bulan berhenti merokok sejak menggunakan vape ini. Bagi saya vape lebih selamat berbanding rokok," katanya.