'Sebagai suami isteri, kami akan tinggal di rumah sendiri' - Tunku Aminah

Agensi
Ogos 13, 2017 00:07 MYT
Puteri Sultan Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan Dennis Muhammad Abdullah akan melangsungkan perkahwinan di Istana Bukit Serene pada Isnin ini. - Foto Bernama
Puteri Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim sedang menyiapkan mahligai baharunya sebagai persediaan mengharungi kehidupan selepas mendirikan rumah tangga.
Ini satu pengalaman baharu buat puteri itu - mengharungi kehidupan bersama bakal suami, Dennis Muhammad Abdullah, seorang warga Belanda selepas perkahwinan mereka, esok.
"Kami akan berpindah ke rumah sendiri dan memulakan kehidupan sebagai pasangan suami isteri.
"Ini adalah pertama kali saya akan tinggal sendiri, dan jauh dari ayahanda, bonda serta ahli keluarga yang lain," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Royal Press Office, pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, di sini pada Ahad.
BACA: Pekerja istana terharu terima jemputan kahwin Tunku Aminah
BACA: Persiapan perkahwinan Diraja Johor berjalan lancar
BACA: Istiadat perkahwinan diraja Johor: Rakan zaman kanak-kanak tidak dilupakan
Istiadat pertunangan Tunku Tun Aminah akan berlangsung di Istana Bukit Serene di sebelah pagi esok, diikuti dengan Istiadat Akad Nikah.
Manakala pada sebelah malam, pengantin Diraja itu akan diraikan dalam Istiadat Persandingan di Bilik Singgahsana, Istana Besar Johor Bahru.
Kesemua istiadat itu akan dijalankan penuh adat istiadat dan budaya Diraja Johor, di mana pengantin perempuan akan mengenakan Baju Kurung Teluk Belanga, manakala pengantin lelaki mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga.
Tunku Tun Aminah berkata, beliau tertarik dengan Dennis Muhammad kerana perwatakan bakal suaminya yang baik dan lemah lembut.
“Beliau sentiasa memberi sokongan dan memahami saya dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Dennis Muhammad yang memeluk agama Islam sebelum mengenali Tunku Tun Aminah berkata, beliau terharu apabila diterima menjadi sebahagian daripada Keluarga Diraja Johor.
“Tunku Tun Aminah seorang insan yang amat istimewa buat saya. Beliau seorang yang menarik namun dalam masa sama, seorang yang tegas dan mempunyai nilai kekeluargaan yang kukuh.
“Beliau juga amat rapat dengan keluarganya, seperti saya dengan keluarga di Belanda,” katanya.
Dennis berkata, walaupun mengahwini seorang anak raja, beliau tetap akan bekerja kerana bapanya pernah menegaskan betapa pentingnya untuk bekerja bagi menampung kehidupan keluarga.
#Bukit Serene #Dennis Muhammad Abdullah #Johor Bahru #perkahwinan #Sultan Ibrahim #Tunku Tun Aminah Maimunah