SYARIKAT telefon pintar, BlackBerry telah menghentikan sistem operasi peranti model keluarannya seperti BlackBerry 10, 7.1 OS dan produk keluaran sebelumnya secara rasmi bermula Selasa.

Ini bermakna, semua peranti lama milik jenama itu yang tidak menggunakan data perisian Android tidak lagi dapat mengakses data, menghantar sistem pesanan ringkas, mengakses internet atau membuat sebarang panggilan termasuk panggilan kecemasan.

Kebanyakan pengguna telah beralih daripada menggunakan BlackBerry sejak keluaran terakhir sistem operasi yang dilancarkan pada 2013.

Tindakan menamatkan sistem sokongan tersebut adalah sebagai penamat kepada penggunaan peranti yang pernah menggunakan teknologi canggih itu.

Pada September 2020, BlackBerry telah mengumumkan bahawa syarikat itu sedang berusaha untuk memberi tumpuan terhadap penyediaan perisian dan perkhidmatan keselamatan kepada perusahaan dan kerajaan di seluruh dunia di bawah jenama BlackBerry Limited.

Kebanyakan model BlackBerry telah menghentikan penjualan model telefon sejak 2016, namun tetap melesenkan jenamanya kepada syarikat OnwardMobility, syarikat peranti keselamatan bagi telefon pintar yang berpangkalan di Austin, Texas.

Namun, peranti BlackBerry yang menggunakan perisian Android tidak terjejas dengan penamatan perkhidmatan ini.