BANGI: Selain mempunyai pelbagai fungsi yang signifikan serta adaptasi kepada keadaan sekeliling, seni bina Melayu tradisional turut mempunyai elemen tersirat terutama dari sudut seni ukiran sesebuah rumah itu.

Jelas Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM, Prof Madya Nor Zalina Harun, sesebuah rumah yang mempunyai pelbagai ukiran dan kehalusan kerja pertukangan itu menunjukkan empunya mempunyai pengaruh serta mempunyai status yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana golongan tersebut mampu mengupah tenaga pengukir mahir bagi tujuan menambah nilai estetik rumah mereka.

Antara seni pertukangan bagi ukiran sesebuah rumah termasuk ukiran larik, ukiran tebuk tembus, tebuk timbul dan ukiran bersilat

Jelas Zalina, kebiasaannya, setiap rumah Melayu tradisional menampilkan fungsi pengudaraan dan pengcahayaan yang baik, namun bagi golongan berstatus tinggi, antara nilai tambah kepada rumah mereka dengan menampilkan ukiran di beberapa bahagian rumah.

"Mudah sahaja untuk mengenali rumah itu pemiliknya berpengaruh atau tidak iaitu dengan melihat rumah mereka, Sekiranya rumah mereka mempunyai pelbagai ukiran dan pelbagai motif ia menunjukkan pemiliknya seorang yang berpengaruh, bangsawan, dan mempunyai kewangan yang kukuh.

"Kesemua rumah tradisional ini memang mempunyai fungsi signifikan terutama pengudaraan dan pengcahayaan, namun dengan adanya ukiran ini ia menambah seri dan nilai estetik kepada sesebuah rumah," jelas Zalina ketika ditemu bual Astro AWANI baru-baru ini.

Antara komponen rumah yang terdapat ukiran termasuk tingkap, kekisi dan tebar layar - Foto/FB: Muhammad Farhan Johan

Astro AWANI sempat mengunjungi Istana Tengku Puteri Fatimah Zaharah atau dikenali Istana Puteri Bongsu, di Laman Pantun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Istana yang dikategorikan sebagai Rumah Tiang 12 pada asalnya dibina di Kota Bharu, Kelantan, kemudian dipindahkan ke Bangi sebagai platform penyelidikan senibina Melayu.

Istana yang sudah melalui beberapa proses restorasi ini menampilkan pelbagai ciri seni ukiran.

Antara seni pertukangan bagi ukiran sesebuah rumah termasuk ukiran larik, ukiran tebuk tembus, tebuk timbul dan ukiran bersilat.

Seni ukiran ini pula mempunya beberapa jenis motif inspirasi daripada keadaan sekeliling serta kepercayaan.

"Ukiran terbahagi kepada beberapa motif iaitu flora, fauna, kosmos dan kaligrafi. Bagi flora terdapat unsur tumbuh-tumbuhan seperti bunga tanjung. Fauna pula ialah unsur haiwan termasuk badan, katak, burung serta ayam.

"Bagi unsur kosmos iaitu alam terdapat matahari, bulan, dan awan. Manakala kaligrafi atau khat ini termasuk ayat-ayat suci al-Quran," jelasnya.

Terdapat unsur flora dan kosmos di bahagian ini iaitu tumbuhan serta bintang - Foto/FB: Muhammad Farhan Johan

Kesemua hasil seni ukiran itu boleh dilihat di istana yang juga dikenali Istana Puteri Bongsu yang dipindahkan ke Laman Pantun UKM ini.

Jelas Zalina lagi, setiap komponen rumah itu diperbuat dari pelbagai jenis kayu berbeza kerana mempunyai fungsi berbeza.

Sebagai contoh, untuk bahagian yang ada elemen pengukiran, kebiasaanya menggunakan kayu yang mudah diukir seperti kapur dan meranti.

Berbeza pula untuk tiang dan bahagian lantai yang memerlukan penggunaan kayu keras terutamanya belian bagi struktur yang kukuh serta elak ancaman serangga anai-anai.

Zalina turut melahirkan seribu harapan agar kemahiran pertukangan dan seni ukiran ini akan terus bertahan dan diwarisi ke generasi seterusnya supaya identiti bangsa ini terus terjaga dan diketahui umum.

Ruangan Rumah Ibu bagi hanya untuk kegunaan sekeluarga dan kebiasaannya merupakan tempat tidur bagi golongan wanita - Foto/FB: Muhammad Farhan Johan