SUSULAN kisah pelajar pintar, Farah Marcella yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) biarpun pernah terpaksa hidup menumpang di pusat snuker tular di laman sosial, satu tabung untuk membantu membiayai pembelajaran Farah diwujudkan.

Tabung berkenaan adalah hasil inisiatif guru Farah, Puan Suraya Abdul Rahim, dan abangnya Encik Zaikhan, yang mahu melihat Farah mempunyai masa depan yang lebih terjamin.

Bagaimanapun, Zaikhan yang dihubungi Astro AWANI memberitahu, dia terkilan apabila ada pihak yang menuduhnya sengaja mengambil kesempatan.

Malah, lebih teruk, ada yang menuduh dia mengambil duit yang didermakan masyarakat untuk dirinya sendiri.

Kata Zaikhan, akaun itu diwujudkan khusus untuk mengumpulkan wang yang akan digunakan untuk membiayai kos pembelajaran Farah di universiti kelak.

"Saya buat akaun itu untuk Farah, tak ada tujuan lain. Satu sen duit saya pun tak ada dalam akaun tersebut," ujar Zaikhan.

Tabung itu sehingga kini sudah mengumpul lebih RM8,000.

Bercerita lanjut, kata Zaikhan, Farah merupakan pelajar adiknya, Suraya.

Suraya yang merupakan guru disiplin di SMK Seri Kota Puteri Pasir Gudang, Johor, terpanggil untuk membantu Farah selepas menyedari masalah peribadi yang dilalui pelajar itu menjadi punca kegagalannya hadir ke sekolah.

Farah diambil tinggal bersamanya selepas tamat peperiksaan percubaan SPM.

Ibu Farah kini bekerja di sebuah pusat snuker, dan di situlah Farah dan adik beradiknya menumpang berteduh.

Cerita Zaikhan lagi, bapa Farah sudah lama menghilangkan diri dan sehingga kini tidak dapat dikesan.

Difahamkan, abang sulung Farah, juga merupakan pelajar cemerlang SPM, namun kedaifan keluarga membuatkan dia tidak dapat menyambung pelajaran dan terpaksa bekerja di pusat snuker itu.

Astro AWANI sudah mengaturkan satu pertemuan untuk berjumpa Farah petang ini di kediaman Suraya.