KETIKA dunia masih belum menemui vaksin bagi COVID-19, antara jalan terbaik bagi mengawal dan memutuskan penularan virus ini seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah penggunaan pelitup muka.

Dalam fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan bagi memulihkan keadaan ekonomi negara, orang ramai sudah mula dibenarkan keluar rumah menjalani kehidupan seperti biasa namun dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya, termasuk penggunaan pelitup muka, pengunaan cecair kuman dan penjarakan sosial.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian sejak kebelakangan ini, penggunaan pelitup muka itu semakin berkurangan.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa orang ramai sudah mula tidak menggunakan pelitup muka terutamanya ketika berada di tempat awam.

Menurut Pakar Sains Sosial dan Tingkah Laku di Fakulti Kesihatan Awam Global di Universiti New York, Profesor David B. Abrams, pandemik ini terasa sangat asing dan orang ramai berpegang kepada pendirian sendiri yang membuatkan mereka merasa selesa ketika ini.

Berikut adalah antara “alasan” yang diberikan;

“Keadaan dalam ketidaktentuan, saya berhak membuat keputusan untuk pakai pelitup muka atau tidak”

Dalam sejarah moden, Profesor Abrams memaklumkan pandemik COVID-19 membuatkan ketidaktentuan keadaan yang menimbulkan perasaan gusar dan mendorong orang ramai untuk mengawal keadaan berdasarkan keputusan sendiri.

Ia termasuk penggunaan pelitup muka.

Jelasnya, sesetengah orang menganggap penggunaan pelitup muka adalah langkah selamat manakala ada yang berpendapat tidak menggunakan pelitup muka juga adalah langkah selamat.

Ini adalah berdasarkan tingkah laku mereka untuk mengawal kegusaran penularan pandemik ini.

“Keputusan penggunaan pelitup muka tidak konsisten, kenapa pula saya perlu menggunakannya?”

Sejak penularan COVID-19 akhir tahun lalu, garis panduan penggunaan pelitup muka adalah tidak konsisten.

Arahan yang bercampur-campur oleh pihak berkuasa membuatkan orang ramai keliru tentang penggunaan pelitup muka itu, kata Profesor Abrams.

Arahan yang bercampur-campur oleh pihak berkuasa membuatkan orang ramai keliru tentang penggunaan pelitup muka itu, kata Profesor Abrams.

“Pelitup muka menggunakan kos, saya tidak mampu”

Antara alasan yang turut diberikan menurut Profesor Abrams adalah ada yang enggan berbelanja untuk membeli pelitup muka.

Lebih-lebih lagi mereka yang sangat terkesan dari segi pendapatan.

“Saya muda dan tidak akan terkena jangkitan”

Ada juga yang beranggapan, warga emas lebih cenderung untuk terkena jangkitan COVID-19 berbanding anak muda.

Menurut Profesor Abrams, ini yang membuatkan golongan ini lebih berani untuk keluar rumah tanpa pelitup muka.

“Penggunaan pelitup muka membuat saya tampak lemah, tidak maskulin”

Berdasarkan kajian, golongan lelaki lebih cenderung untuk tidak menggunakan pelitup muka kerana bagi mereka penggunaan pelitup muka adalah simbol kelemahan dan tidak ‘cool.

Namun, data menunjukkan golongan lelaki berisiko tinggi untuk terkena jangkitan berbanding wanita.

Justeru, Profesor Abrams menggesa agar orang ramai terus menggunakan pelitup muka sebagai langkah keselamatan.

Berdasarkan kajian, golongan lelaki lebih cenderung untuk tidak menggunakan pelitup muka kerana bagi mereka penggunaan pelitup muka adalah simbol kelemahan dan tidak cool.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengingatkan antara satu sama lain tentang risiko tidak menggunakan pelitup muka.