GAYA HIDUP
Teater 'Cik Ros' kenang sumbangan aktivis teater Allahyarham Dr Rosminah Tahir

Pengarah Teater “Cik Ros”, Hamzah Tahir (empat, kanan) dan Penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Atan (dua, kiri) bergambar bersama barisan pelakon teater “Cik Ros” pada sidang media di Menara DBP. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Sebagai penghormatan kepada tokoh seni persembahan tanah air Allahyarham Dr Rosminah Tahir, teater "Cik Ros" akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, bermula 19 hingga 21 Sept ini.
Penerbit Siti Rohaya Attan berkata naskhah arahan Hamzah Tahir itu menggemblengkan pengalaman pelakon, tenaga produksi, rakan sekerja dan bekas pelajar Allahyarham sepanjang hampir lima dekad berkecimpung dalam dunia seni persembahan.
"Cik Ros (Rosminah) menjadi sumber inspirasi bagi semua orang di sekelilingnya kerana arwah memiliki ciri-ciri luar biasa yang membezakannya daripada yang lain.
"Ketekunan arwah dalam bekerja dan dedikasinya terhadap seni membuatkan setiap projek yang dihasilkannya menjadi sangat luar biasa," katanya pada sidang media teater tersebut baru-baru ini.Pementasan anjuran CTRA Production dan Abada Global Resources itu mendapat sokongan DBP; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Persatuan Gerakan Anak Seni dan dibarisi pelakon hebat antaranya Datuk Tamimi Siregar, Amy Mastura, Liza Abdullah, Datuk Ziela Jalil, Zaifri Husin dan Juhara Ayob.
Menurut Siti Rohaya, selain mengutamakan kerjasama dalam setiap produksi dengan memastikan semua yang terlibat berasa dihargai, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang peka dan sentiasa mendengar idea rakan-rakan di samping mendorong mereka agar berani mencurahkan kreativiti tanpa rasa terikat.
"Semangat dan kebaikan Cik Ros menjadikan beliau bukan hanya seorang karyawan hebat tetapi juga seorang mentor dan sahabat. Ramai anak didik beliau yang kini bergelar pengarah, pelakon dan penulis naskhah masih menyebut nama Cik Ros sebagai insan yang membimbing mereka sejak awal," katanya.
Sementara itu, pengarah teater yang juga adik bongsu Allahyarham, Hamzah Tahir berkata pementasan berkenaan bukanlah biopik, sebaliknya sebuah "doku teater" yang digarap melalui kenangan rakan-rakan, catatan peribadi serta dokumentasi Rosminah.
"Arwah sangat teratur. Setiap produksi ada keratan akhbar, album dan catatan lengkap. Hampir 40 produksi ada rekod, dan itu yang kita nak paparkan supaya penonton kenal siapa Cik Ros, bukan hanya melalui cerita orang," katanya.
Pensyarah Seni Persembahan di Universiti Teknologi Mara itu berkata naskhah tersebut turut menyoroti perjalanan Allahyarham sejak zaman remaja di kampung halaman di Muar, Johor sehingga bergelar pengarah teater di ibu kota.
"Semua elemen ini kami satukan supaya penonton bukan sahaja dapat melihat perjalanan hidupnya sebagai pengarah teater, tetapi juga sebagai pendidik yang telah melahirkan ramai bakat baharu," katanya.
Hamzah mengakui proses latihan serta persiapan teater berkenaan penuh cabaran emosi kerana hampir semua tenaga produksi dan pelakon pernah bekerja rapat dengan Allahyarham.
"Kadang-kadang dengan Roy (Siti Rohaya) saya tak boleh ada 'eye contact' bila buat teater ini, sebab rasa pilu. Ada satu babak, apabila disebut 'Kak Ros dah tak ada', semua 'breakdown', termasuk saya sendiri," katanya yang menjadikan arwah kakaknya itu idola dan sumber inspirasi perjalanan kerjaya.
Rosminah yang meninggal dunia ketika berusia 65 tahun pada Mei tahun lalu, merupakan antara pelopor penubuhan Akademi Seni Kebangsaan yang kini dikenali sebagai ASWARA serta membantu melahirkan ribuan pelajar ketika menjadi pensyarah dan dekan di institusi itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami