LIFESTYLE
TMM: 125 tahun Jambatan Victoria, kerja baik pulih diperlukan

Jambatan ikonik bagi rakyat Perak yang terletak di Karai, Kuala Kangsar, begitu sinonim dengan sejarah dan warisannya yang mendunia. - Foto ihsan Nor Hisham Zulkiflee
KUALA KANGSAR: Mencecah usia 125 tahun, jambatan kereta api antara yang tertua di negara ini, Jambatan Victoria, dilihat kembali mendung dan gelap pada malam hari.
Ini kerana, banyak lampu yang dipasang sebelum ini bagi ciri-ciri keselamatan dan kemudahan penduduk sekitar lalu lalang, didapati tidak lagi berfungsi.
Selain itu, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, kerja pemuliharaan serta baik pulih jambatan besi itu juga penting dalam memastikan ia tidak terdedah dengan risiko cuaca tidak menentu sehingga menjadikannya berkarat dan rosak.
Jambatan ikonik bagi rakyat Perak yang terletak di Karai, di sini, begitu sinonim dengan sejarah dan warisannya yang mendunia.Ia dibina pada tahun 1897 dan siap pada 1900 bagi menghubungkan laluan antara Ipoh dan Taiping menerusi Kuala Kangsar selain berperanan bagi laluan utara ke selatan Semenanjung Tanah Melayu.
"Kita tidak nafikan usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) serta Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Kangsar.
"Mereka ada melaksanakan kerja mencantikkan landskap di situ, termasuk parkir, dataran serta pemasangan jaring keselamatan.

Foto lama tahun 2021 menunjukkan pemandangan malam di Jambatan Victoria yang ketika itu diterangi limpahan cahaya lampu. - Foto ihsan Nor Hisham Zulkiflee
"Pada tahun 2021, MPKK ada pasang lampu untuk menerangi lokasi itu pada waktu malam, sekali gus ia menjadi penanda aras bagi PBT di Malaysia untuk bangunkan tarikan di lokasi yang ada jambatan kereta api," katanya.
Bagaimanapun, dia mendakwa, penyelenggaraan di jambatan berkenaan malangnya tidak dijaga dengan sempurna.
Tegasnya lagi, kerajaan negeri juga perlu membantu dari segi usaha menjaga warisan dan sejarah negara itu, lebih-lebih lagi bagi meraikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Tambahan pula, kata Nor Hisham, keunikan jambatan itu banyak menyumbang kepada ekonomi negeri susulan ramai pelancong datang ke Perak bagi melawat lokasi berkenaan.
"Boleh dikatakan kebanyakan lampu yang diletak di sepanjang jambatan itu sudah tidak berfungsi, masalah ini saya lihat sudah lama berlarutan.
"Sepatutnya patut ada kerja pemuliharaan yang berkala, jangan hanya tambah baik dari segi landskap dan keselamatan sahaja.
"Tetapi jambatan itu sendiri tidak diselenggara dengan baik, usianya sudah lebih 100 tahun dan perlu dijaga dengan baik. Jika rosak teruk, lebih banyak kos diperlukan dan lebih malang jika ia sudah tidak dapat diselamatkan," katanya lagi.

Struktur Jambatan Victoria yang berkarat dan perlu kerja baik pulih supaya tidak rosak. - Foto ihsan Nor Hisham Zulkiflee

Struktur Jambatan Victoria yang berkarat dan perlu kerja baik pulih supaya tidak rosak. - Foto ihsan Nor Hisham Zulkiflee

Struktur Jambatan Victoria yang berkarat dan perlu kerja baik pulih supaya tidak rosak. - Foto ihsan Nor Hisham Zulkiflee
Sehubungan itu, dia memohon supaya pihak berwajib segera melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah tersebut.
"Menerusi kajian universiti tempatan, Jambatan Victoria ini mendapat tempat pertama bagi tarikan utama di Kuala Kangsar.
"Dari situ kita dapat lihat kepentingan jambatan itu, kepada Perak khususnya," kata Nor Hisham.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami