KUALA LUMPUR: Dari luar, bangunan 12 tingkat yang mempunyai 216 pintu ini hanyalah rumah pangsa dengan cat luaran yang hampir lapuk sama seperti perumahan kos rendah lain, namun jika menjengah di bahagian ruang lobi, dekorasinya tidak ubah seperti hotel.
Itulah gambaran suasana Rumah Pangsa Pandan Utama, Ampang, dekat sini, yang dihias cantik dan menarik dengan pelbagai corak serta rekaan berlainan di setiap tingkat mengikut daya kreativiti penduduk.
Lebih menarik, projek dekorasi itu yang merupakan hasil kerjasama Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Persatuan Penduduk turut dilengkapi dengan tanda arah rumah sekali gus memudahkan pengunjung luar mencari unit kediaman yang ingin dilawati.
Pengerusi JMB Rumah Pangsa Pandan Utama Hussin Yahya, 67, berkata transformasi itu bermula ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
Katanya, rata-rata penduduk di situ yang bekerja sebagai buruh binaan dalam pelbagai sektor enggan mensia-siakan waktu lapang yang ada sepanjang PKP.
"Asalnya, kami hanya merancang untuk mengecat dan menghias ruang lobi bawah memandangkan ia adalah kawasan tumpuan utama keluar masuk sekali gus mencipta ruang yang lebih selesa buat penduduk.
"Namun, kami sangat teruja selepas melihat hasilnya lantas bersepakat untuk sama-sama mengindahkan dan mencantikkan ruang lobi di setiap tingkat," katanya kepada Bernama.
Lebih membanggakan, bagi tujuan itu, penduduk sanggup mengeluarkan modal sendiri selain terdapat individu yang bermurah hati untuk menderma atau menajanya.
"Tiada paksaan dalam soal kutipan, ia bergantung kepada kemampuan penduduk kerana kita sedar bukan semua mampu untuk melakukannya. Pendek kata, kalau nak lagi cantik, modal pun kena lebih," katanya.
Tidak sekadar cantik dan menarik, tinjauan Bernama di kawasan persekitaran rumah pangsa itu mendapati keadaannya hampir sifar sampah di atas jalan raya sekali gus mewujudkan persekitaran bersih dan ceria.
Bagi Mazilah Abd Jalil, 49, pula semangat permuafakatan dalam kalangan penduduk menjadi kunci utama dalam mengubah mentaliti kehidupan di rumah pangsa terutamanya apabila membabitkan soal kebersihan, vandalisme dan isu sosial.
"Jujurnya, kami sangat bersyukur dan terharu dengan semangat sukarelawan dalam kalangan penduduk. Tambahan pula, flat (perumahan) kami sangat aktif dengan pelbagai aktiviti.
"Walaupun ada cleaner (tukang cuci) yang bertanggungjawab membersihkan kawasan persekitaran, penduduk juga mengambil inisiatif untuk menghias dan membersihkan sendiri laluan koridor dan bumbung rumah," kata Mazilah yang juga Setiausaha JMB di rumah pangsa berkenaan.
Beliau berkata secara tidak langsung, keadaan itu turut melahirkan masyarakat berfikiran positif selain mengeratkan hubungan sesama mereka.
Turut sependapat Zulkifli Abdul Rahman, 46, yang menyifatkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan tumpuan seperti lif, parkir dan lobi membantu kawasan kediaman mereka berada dalam keadaan lebih selamat dan terjaga.
"Setakat hari ini, belum ada perbuatan khianat yang kami terpaksa hadapi. Walaupun masih ada beberapa kelompok individu yang kekal dengan mentaliti lama, apa yang kita terapkan adalah bersabar dalam mendidik mereka.
"Mereka ini perlu diberikan lebih motivasi, kesedaran atau kaunseling sehingga akhirnya mereka yang akan malu sendiri dengan perbuatan tidak bertanggungjawab mereka," katanya.
Kesepakatan penduduk Rumah Pangsa Pandan Utama dalam mengecat dan menghias kawasan kediaman bukan sahaja mendapat pujian orang ramai tetapi juga daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selain bakal menerima kunjungan daripada pihak berkuasa tempatan yang lain dalam tempoh terdekat.
Selain itu, penduduk rumah pangsa itu juga berharap agar permintaan untuk mengecat luar bangunan perumahan akan diluluskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Lembaga Perumahan Hartanah Selangor, tahun ini.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Feb 10 2022
Dekorasi seperti hotel di kawasan koridor di luar rumah penduduk di Rumah Pangsa Pandan Utama. --fotoBERNAMA
Meta sumbang AS$1 juta untuk majlis angkat sumpah Donald Trump
Derma ini merupakan langkah terkini oleh CEO Meta, Mark Zuckerberg yang menunjukkan hasratnya untuk bekerjasama dengan Trump.
Francois Bayrou dilantik PM baharu Perancis
Presiden Emmanuel Macron lantik sekutunya dalam usaha untuk meredakan krisis politik yang semakin melemahkan pengaruhnya.
KL City nafi bekalan selesa JDT
JDT akan meneruskan saingan aksi kedua suku akhir dengan bertemu KL City pada 21 Dis ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Skuasy Berpasukan Dunia 2024: Malaysia raih gangsa
Skuad wanita kebangsaan membawa pulang pingat gangsa apabila tewas 0-2 kepada Amerika Syarikat pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia 2024 di Hong Kong, malam tadi.
Jualan kenderaan baharu Malaysia turun lapan peratus pada November 2024 - MAA
Jualan kenderaan baharu Malaysia turun lapan peratus tahun ke tahun kepada 67,523 unit pada November 2024, susut daripada 73,262 unit pada bulan yang sama tahun lepas.
Prospek sektor korporat neutral pada 2025 - Fitch Ratings
Fitch Ratings berpandangan neutral terhadap sektor korporat Asia Pasifik (APAC) pada 2025.
MCMC peruntuk RM13.7 juta baik pulih WiFi di UM, USIM, UniMAP - Fahmi
MCMC peruntuk RM13.7 juta bagi tingkatkan akses internet di tiga universiti awam Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
IPT di negara ini sedia kuasa AI sepenuhnya
Institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini sudah bersedia menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya.
Sembilan siri latihan polis bantuan dirancang tahun depan
Sebanyak sembilan siri latihan polis bantuan dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara tahun hadapan berikutan permintaan yang semakin meningkat.
Pesaka sasar tujuh pingat emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024
Pesaka meletakkan sasaran tujuh emas sama seperti edisi lepas bagi kontinjen pesilat negara yang akan membawa cabaran ke Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024 di Abu Dhabi.
Transformasi rumah pangsa indahkan kawasan kediaman
Rumah Pangsa Pandan Utama dihias cantik dengan pelbagai corak dan rekaan kreatif yang berlainan di setiap tingkat.