Minggu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berura-ura mengeluarkan garis panduan pengasingan penggunaan troli bagi barangan halal dan tidak halal di pasar raya.

Hal ini tidak mengejutkan bagi yang telah mengikuti perkembangan isu ini sejak tahun lalu.

Puncanya? Seperti biasa, media sosial yang kini sudah dinaik taraf sebagai mahkamah segera. Muat naik, komen, dan hukum.

Semudah satu-dua-tiga bukan?

Banyak foto yang dipapar tentang penggunaan troli yang dianggap kurang sesuai, dari pembelian daging babi sehinggalah anjing peliharaan yang dibawa bersiar-siar di dalam troli.

Semua ini sudah pasti menakutkan umat Melayu di Malaysia.


VIDEO: Pengasingan troli di pasar raya mungkin diwajibkan

BACA: 'Wang kertas pun kena samak juga' - Netizen tolak cadangan troli halal


Saya lebih selesa dengan pendirian pendakwah bebas Ustaz Wan Ji dalam isu ini. Tidak perlu asingkan troli, kerana daging babi yang dijual di pasar raya dijual dalam bungkusan.

Ini logik mudah yang dapat diperhatikan oleh semua pengunjung pasar raya. Tidak pernah lagi saya lihat daging haiwan apa sekalipun dicampak terus ke dalam troli selepas selesai dilapah sehingga wujud titis darah yang mampu dikesan dari bahagian lauk mentah sehingga ke kaunter pembayaran.

Tidak ada. Belum pernah saya jumpa. Sekalipun ada, mengapa pula tidak kita perjuangkan pengurusan inventori yang lebih bersih? Mengapa bersegera mahu menampal label dan melakar garis pemisah?

Inilah yang lebih menggamit perhatian saya, betapa isu ini sebenarnya bukan bertitik-tolak tentang hukum fiqh, apatah lagi perbahasan antara mazhab dalam soal bersuci.

Ini soal sikap.

Kita sudah menganggap perbezaan agama dan ras yang wujud sebagai satu pertarungan yang perlu dimenangi. Kalau kita berlembut, agama kita diinjak. Kalau kita bertolak ansur, maknanya kita sudah kalah.

Kalah dengan siapa? Yang menang dapat apa? Di manakah gelanggang pertarungan ini? Siapakah peserta dan pengadilnya?

Saya bukan agamawan, namun izinkan saya untuk memetik sepotong ayat suci yang semerta hinggap di fikiran tentang hal ini:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). (Al-Hujurat: 13)

Kita mahu berkenalan dan beramah mesra, yang mustahil untuk dilakukan andai kita lebih gopoh mahu memisah dan membeza-beza.

Lebih malang apabila tindakan sebegini menyebabkan Islam sudah tidak lagi dilihat sebagai agama damai dan toleran namun sekadar mengajar penganutnya pantas menuding jari dan melolong “Haram! Haram! Haram!”

Dunia ini kita kongsi bersama. Bersederhanalah dalam melayani ragu dan was-was dalam hati. Jika tidak, lebih banyak lagi pengasingan yang bakal berlaku.

Mungkin umat Melayu selepas ini perlu sentiasa menggalas beg berisi pinggan mangkuk dan alatan dapur setiap kali keluar dari rumah. Manalah tahu pinggan mangkuk di kedai pernah disentuh daging nan haram.

Atau kita perlu ruang pejalan kaki yang berbeza di sekitar Kuala Lumpur. Manalah tahu ada kasut dan selipar orang lain yang telah terpijak tinja anjing dan babi dalam perjalanan ke kota.

Manalah tahu, manalah tahu, manalah tahu.

Dalam dunia yang terlalu luas ini, pengasingan hanya akan menjadikan kita lebih jauh dan saling curiga. Semakin lama kita akan semakin percaya bahawa kita dalam pertarungan yang sebenarnya tidak wujud.

Kali terakhir manusia diasingkan menurut ras dan agama sehingga perlu dipakai lencana pelbagai warna, kalau tidak silap saya, 80 tahun lalu di kem-kem tahanan yang membunuh jutaan manusia di bawah telunjuk Hitler.

Ada satu petikan kata-kata yang saya kurang pasti milik siapa, namun kerap juga disebar di media sosial. Saya fikir mesejnya manis dan perlu kita insafi:

“Andai dengan beragama itu menjadikan kita pantas menghukum, biadab, kasar, dan pengumpat; maka harus disemak semula, apa yang kita sembah itu Tuhan atau ego yang tidak bersempadan.”









Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.