BUTTERWORTH: Seorang tukang jahit kerdil dari Kampung Petani Merbau Kudung, di sini, tidak menang tangan menerima tempahan menjahit baju raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Nurul Izzah Mohd Asri, 26, yang mempunyai ketinggian 120 sentimeter berkata, dia terpaksa menutup tempahan sejak Januari lalu kerana bimbang tidak mampu menyiapkan pakaian ditempah kerana menjahit seorang diri.

Jelas anak keempat daripada lima beradik itu, tempahan tahun ini meningkat sebanyak 20 peratus iaitu 60 pasang baju berbanding tahun lepas.

Dia yang mula menjahit baju sepenuh masa pada tahun lalu selepas tamat pengajian pada 2019 bersyukur dengan kepercayaan orang ramai terhadap keupayaan dirinya menjahit pakaian mereka yang ingin digayakan di pagi raya.

“Alhamdulillah sebab  orang percaya dan orang yang tempah sebelum ini mereka masih hantar lagi dan masih percaya lagi Izzah.

“Ada pelanggan yang sudah tempah 10 pasang kemeja… dia percaya pada kerja Izzah,” kata Nurul Izzah yang senang disapa Izzah dalam pertemuan dengannya baru-baru ini.

Nurul Izzah menetapkan harga jahitan bermula RM50 mengikut jenis fesyen yang dikehendaki pelanggan-pelanggannya.

Berikutan ketika ini cuaca panas, Nurul Izzah memilih untuk menyiapkan tempahan diterima pada waktu malam.

“Sekarang ini di bulan puasa dengan cuaca panas jadi Izzah buat kerja kerja menjahit pada malam, sejuk dan tenang,” jelas Nurul Izzah lagi.

Bimbang tidak sempat siapkan baju yang ditempah pelanggan, Nurul Izzzah menutup tempahan sejak Januari lalu.

Ditanya mengenai upah yang dikenakan kepada pelanggan, Nurul Izzah berkata, dia menetapkan harga jahitan bermula RM50 mengikut jenis fesyen yang dikehendaki pelanggan-pelanggannya.

Kata Nurul Izzah, harga upah yang dikenakannya itu disifatkan relevan dan tidak membebankan pelanggannya.

Ini kerana, ujarnya, pelanggan-pelanggannya terdiri daripada penduduk kampung  termasuk anak-anak yatim, ibu tunggal dan warga emas.

Sepanjang bergelar tukang jahit, apa yang membanggakan Nurul Izzah ialah dia pernah menyiapkan baju  pemimpin negara termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kepercayaan Perdana Menteri itu, kata Nurul Izzah, menjadi antara kenangan manis yang akan tersimpan rapi dalam kotak fikirannya.