Keenakan rasa Mi Kampua Sibu tidak dapat disangkal.

Makanan tradisi yang cukup sinonim dengan masyarakat Cina Foochow ini sering kali menjadi pilihan masyarakat di daerah berkenaan sebagai sarapan.

Disebabkan kelazatannya, ramai yang tercari-cari untuk menjadikannya sebagai juadah. Namun, untuk merasai sendiri keaslian masakan Mi Kampua, penggemar terpaksa berkunjung ke Swan City yang terletak 312 kilometer dari pusat bandar raya Kuching.

Namun, perkara itu membuka peluang buat peniaga untuk mencuba sendiri pasaran Mi Kampua di kawasan lain. Salah seorang daripadanya, usahawan, Mohd Sadiqin Fairuz Lim yang ‘menerbangkan’ sendiri keaslian mi kampua ke Kuching.


Mohd Sadiqin Fairuz Lim sibuk menyiapkan tempahan pelanggan ketika Ramadan. -Gambar Astro AWANI


“Impian saya adalah untuk memperkenalkan makanan Cina kepada kaum-kaum lain terutamanya kepada yang beragama Islam. Makanan Cina ini ada dalam pelbagai jenis. Cuma kita yang beragama Islam ini tidak pernah ada peluang untuk merasainya kerana takut akan status halalnya,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Tambah Mohd Sadiqin, dalam memastikan perniagaannya sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan, dia mempelbagaikan menu mi kampuanya.

Antara mi yang dijualnya termasuklah Kampua Masin, Kampua Sos, Kampua Manis, Mi Sua sup, Kampua Mi Sua dan Wantan.

Jelasnya, setiap variasi ini mempunyai kelainan rasa dan teksturnya sendiri.


Mi Kampua Sibu -Gambar Sadiqin Lim Kampua

Mi Sua hasilan Mohd Sadiqin Fairuz Lim -Gambar Sadiqin Lim Kampua

“Saya mencari (mi) dari satu ke satu pengedar sehingga saya jumpa pengedar mi yang menjual mi rasanya sama seperti Mi Kampua Sibu. Ini kerana saya mahu memberi pengalaman terbaik kepada pelanggan.

“Saya tidak mahu melakukan sesuatu pekerjaan secara ala kadar sehinggakan pelanggan mengadu rasanya tidak sama seperti Mi Kampua di Sibu,” tambahnya.




Selain itu, Sadiqin memberitahu tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan tidak dapat dinafikan banyak menjejaskan pendapatan peniaga namun, dirinya tidak berpeluk tubuh.

Sebaliknya, dia meneruskan perniagaannya secara atas talian sama seperti peniaga yang lain.
Selain efisien, kaedah ini dipilih sesuai dengan keadaan sekarang terutamanya ketika musim Ramadan ini.