GAYA HIDUP
Usia 74 tahun bukan halangan Pak Habib kekal aktif jadi guru aerobik

Pak Habib mula menjadi guru aerobik sejak 1990-an. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Ketika ramai rakan seusianya memilih untuk berehat di rumah, Syed Abdul Rahman Syed Jaafar, 74, atau lebih mesra dipanggil Pak Habib, masih ligat menggerakkan tubuh mengajar senaman aerobik secara percuma di Taman Merdeka di sini, beberapa kali seminggu.
Ringkasan AI
- Syed Abdul Rahman Syed Jaafar atau Pak Habib, 74, masih aktif mengajar senaman aerobik secara percuma di Taman Merdeka beberapa kali seminggu, dengan pendekatan yang sesuai untuk semua peringkat umur dan diiringi pelbagai genre muzik.
- Beliau mula menjadi guru aerobik sejak 1990-an dan terus diterima masyarakat kerana gabungan ilmu kecergasan, motivasi, dan keupayaan berkomunikasi yang menghidupkan suasana kelas walaupun dalam usia lanjut.
- Pengikut setia seperti Suhaila Abd Talib menghargai pendekatan Pak Habib yang bukan sahaja mengajar senaman tetapi turut memberi motivasi dan tip kesihatan, menjadikan sesi lebih bermanfaat dan menyeronokkan.
"Senaman yang Pak Habib ajar ini diiringi dengan pelbagai jenis lagu merangkumi semua kaum macam silat, Tai Chi, yoga, dangdut dan zapin supaya orang tak jemu. Pada masa sama Pak Habib juga akan selitkan motviasi dan tip kecergasan," katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai juruteknik di Telekom Malaysia dan pernah berkhidmat secara sukarela di Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Jabatan Belia dan Sukan, berkata penglibatannya dalam bidang tersebut bermula sekitar 1990-an apabila rakannya mencari guru aerobik lelaki.
"Dulu kalau cikgu aerobik mesti perempuan dan awalnya memang Pak Habib menolak. Setelah diyakinkan dan berbekalkan sedikit ilmu dalam sukan, Pak Habib terima untuk jadi guru aerobik dan hingga kini masih diterima dan diperlukan masyarakat meskipun dalam usia serta kudrat yang semakin terbatas," katanya.
Walaupun ramai yang menasihatinya untuk duduk di rumah, beliau berpendapat usia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bersukan atau bersenam kerana keterbatasan pergerakan akibat faktor usia ia masih boleh disesuaikan mengikut kemampuan masing- masing.
"Cuma satu sahaja kelebihan yang Allah SWT pinjamkan ialah Pak Habib boleh bercakap, boleh bagi motivasi, buat kelakar dan ada 'sense of humour' jadi bila kita gabung ilmu kita dengan kelebihan bercakap itu buatkan kelas kita meriah," katanya.
Sementara itu pengikut setia kelas Pak Habib, Suhaila Abd Talib, 48, berkata sesi senaman aerobik Pak Habib menarik dan tidak membosankan.
"Saya dah ikut Pak Habib lebih 10 tahun sebab beliau bukan mengajar senaman sahaja tetapi sebelum mulakan kelas beliau bagi motivasi dan banyak tip kesihatan jadi kita dapat banyak ilmu," kata ibu kepada dua orang anak itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami