Warga kota menggunakan masa pada saat akhir bagi membeli-belah di sekitar Jalan Masjid India untuk menikmati promosi harga runtuh sebelum menyambut Hari Raya Adilfitri.

Ada yang berpendapat membeli-belah pada saat akhir ini menguntungkan kerana barangan dijual pada harga jauh lebih murah.

Rata-rata berpendapat biarpun lebih murah, namun kualitinya masih memuaskan dan sama seperti barangan yang dijual pada awal Ramadan.

Bagi Nurul Aqma, setiap tahun dia pasti akan meluangkan masa membeli-belah di sekitar ibu negara untuk membeli barangan keperluan untuk menyambut Aidilfitri.

“Saya memang setiap tahun raya di sini jadi memang akan membeli pada saat akhir seperti kuih-kuih raya yang dijual di sekitar Jalan Masjid India ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Khamis.

Selain itu, bagi Mohd Azli Aliashak pula, membeli-belah pada saat akhir memberikan lebih banyak pilihan buat dia dan keluarga melengkapkan busana hari raya.

“Pada saat akhir ini lebih banyak pilihan, harga pada saat akhir juga jatuh menjunam.Kualiti barangan juga memuaskan.

“Setiap tahun, saya dan keluarga pasti ke Jalan Masjid India untuk merasai kemeriahan orang ramai membeli-belah,” ujarnya.

Jualan harga runtuh bukan sahaja menguntungkan pembeli, malah peniaga juga boleh menghabiskan stok jualan.

Foto: Astro AWANI/SITI NURSYAZWANI


Foto: Astro AWANI/Siti Nursyazwani

Jualan harga runtuh bukan sahaja menguntungkan pembeli, malah peniaga juga boleh menghabiskan stok jualan.


Yang pasti, Jalan Masjid India lebih meriah pada larut malam kerana ini adalah peluang terakhir bagi peniaga melelong barangan mereka.

Peniaga jubah, Nordin Ali berpendapat lelongan saat akhir ini akan menggembirakan warga kota yang membeli-belah pada saat akhir.

“Setiap tahun kami akan membuat lelongan pada saat akhir kerana kita tahu pembeli akan merasa gembira untuk menikmati harga murah,” katanya.

Dalam pada itu, penjual kuih raya, Aliuddin Ishak juga membuat lelongan larut malam untuk menghabiskan stok jualan mereka.

“Memang kami tawarkan harga murah tetapi kualiti tetap sama. Sekiranya tengah malam masih banyak kuih yang belum dijual, kami akan membuat lelongan dengan harga yang lebih murah,” jelasnya.

Walaupun perlu berasak-asak, pembeli ternyata berpuas hati dengan harga runtuh yang ditawarkan.