Skip to main content
Advertisement

Dunia

Hayden Panettiere meninggal dunia akibat gabungan beberapa dadah

An image of Hayden Panettiere is shown while Noah Kahan performs "Bridge Over Troubled Water" during an in memoriam presentation during the 78th Emmy Awards on Monday, Sept. 14, 2026, at the Peacock Theater in Los Angeles. (AP Photo/Chris Pizzello)
Imej mendiang Hayden Panettiere dipaparkan ketika penyanyi Noah Kahan menyampaikan lagu 'Bridge Over Troubled Water' dalam segmen penghormatan In Memoriam pada Anugerah Emmy ke-78. - Foto AP
Advertisement

LOS ANGELES: Pelakon Amerika Syarikat, Hayden Panettiere, meninggal dunia akibat kesan toksik gabungan beberapa jenis dadah yang ditemukan dalam sistem badannya, menurut laporan bedah siasat yang dikeluarkan Pejabat Koroner Greenville County, South Carolina.

Laporan itu menyatakan kematian pelakon berusia 36 tahun tersebut berpunca daripada kesan fentanyl, Xanax serta beberapa bahan lain, dan diklasifikasikan sebagai kematian tidak disengajakan.

Pihak koroner turut mengesahkan tiada sebarang tanda kecederaan atau trauma ditemukan yang boleh dikaitkan dengan kematiannya.

Panettiere ditemui tidak sedarkan diri di sebuah kediaman di South Carolina bulan lalu sebelum disahkan meninggal dunia.

Selain fentanyl dan Xanax, bedah siasat turut menemui methocarbamol, iaitu ubat pengendur otot yang diberikan melalui preskripsi, serta quetiapine, ubat antipsikotik yang digunakan untuk merawat beberapa gangguan kesihatan mental.

Menurut pihak koroner, pasukan kecemasan telah menjalankan prosedur bantuan hayat jantung lanjutan sejurus tiba di lokasi, namun usaha menyelamatkan nyawa pelakon itu tidak berjaya.

Panettiere, yang dikenali menerusi siri televisyen popular Heroes dan Nashville, sebelum ini pernah berkongsi secara terbuka mengenai perjuangannya berdepan masalah ketagihan bahan terlarang serta kemurungan selepas bersalin.

Beberapa bulan sebelum kematiannya, beliau menerbitkan memoir yang menceritakan secara terperinci pengalaman berdepan ketagihan dan cabaran kesihatan mental.

Dalam satu temu bual terdahulu bersama majalah People, Panettiere berkata beliau mula diperkenalkan kepada bahan tersebut ketika berusia sekitar 16 tahun sewaktu menghadiri acara karpet merah bagi siri Heroes.

Beliau mendakwa seorang anggota pasukan profesionalnya ketika itu memberikan sejenis pil yang didakwa mampu meningkatkan tenaga.

"Saya tidak menyedari ketika itu bahawa perkara tersebut tidak sesuai atau kesan yang bakal membentuk kehidupan saya selepas itu," katanya.

Menurut Panettiere, penggunaan dadah dan alkohol akhirnya menjadi sesuatu yang sukar dipisahkan daripada kehidupannya apabila meningkat dewasa.

Sementara itu, laporan media menyatakan Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA) turut menyertai siasatan yang dijalankan pihak polis tempatan berhubung kematian pelakon berkenaan.

Bekas teman lelakinya, Brian Hickerson, dan adiknya Zack Hickerson dilaporkan berada bersama Panettiere ketika pasukan kecemasan tiba di lokasi kejadian.

Panettiere juga pernah mendedahkan bahawa adiknya, Jansen Panettiere, yang meninggal dunia pada usia 28 tahun akibat masalah jantung, turut berdepan isu penyalahgunaan bahan terlarang sebelum kematiannya.

Fentanyl, sejenis opioid sintetik yang jauh lebih kuat berbanding morfin, telah dikaitkan dengan ratusan ribu kematian di Amerika Syarikat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

 

 

Must Watch Video

Advertisement